Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, penganjuran festival berkenaan oleh Kementerian Komunikasi (KKOM) merupakan satu perkembangan positif yang mampu merancakkan lagi industri pelancongan dan ekonomi tempatan.
Menurut beliau, RIUH OOHA! bukan sekadar festival kreatif, malah menjadi platform yang mengetengahkan produk kreatif, instalasi seni, persembahan pentas serta pengalaman kulinari kepada orang ramai.
Beliau berkata, persiapan penganjuran acara tersebut telah dibincangkan dalam satu pertemuan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Bahria Mohd Tamil baru-baru ini.
“Hasil perbincangan tersebut, beberapa bidang kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan KKOM telah dipersetujui bagi memastikan penganjuran RIUH OOHA! 2026 berjalan lancar dan mencapai objektifnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Chiew berkata MOTAC akan menyediakan reruai khas sepanjang festival itu bagi mempromosikan sektor pelancongan negara serta destinasi pelancongan di wilayah utara Sarawak.
Katanya, acara berprofil tinggi itu merupakan peluang terbaik untuk memperkenalkan tarikan unik, warisan budaya serta keramahan rakyat Sarawak kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, beliau berkata Tourism Malaysia turut diarahkan untuk mempergiatkan usaha promosi bagi menarik lebih ramai pelawat domestik dan antarabangsa, khususnya dari Brunei.
Menurutnya, festival berkenaan dijangka menarik kehadiran pengunjung bukan sahaja dari Miri, malah dari bandar-bandar lain seperti Bintulu, Sibu dan Kota Kinabalu.
“Miri mempunyai ramai artis, penghibur dan usahawan kreatif yang berbakat. Saya berharap festival ini dapat memperkukuhkan industri kreatif tempatan di samping membuka ruang kepada komuniti kreatif untuk menonjolkan bakat serta produk mereka,” katanya.
RIUH OOHA! 2026 akan berlangsung di Koridor Muzikal, Eastwood Valley Golf & Country Club dan dijangka menampilkan lebih 20 persembahan pentas, 60 vendor tempatan serta 20 bengkel kreatif yang terbuka kepada orang ramai.
Pengunjung juga berpeluang menikmati persembahan berbentuk konsert yang menampilkan artis dari Miri serta pelbagai negeri di Malaysia.
Chiew berkata penganjuran acara berskala besar seperti RIUH OOHA! bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pelancongan, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bandar raya Miri menerusi peningkatan aktiviti perniagaan serta peluang kepada usahawan, artis dan penggiat industri kreatif tempatan.
“Saya yakin melalui kerjasama erat semua pihak termasuk MOTAC dan KKOM, RIUH OOHA! 2026 akan menjadi sebuah acara yang berjaya dan memberi impak besar kepada pembangunan industri pelancongan serta ekonomi Miri,” katanya.