The tradition of appointing village heads must be upheld.

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

Dennis memukul gong sebagai simbolik perasmian dewan baharu yang diberi nama Aban Jau sambil disaksikan Augustine (tiga kiri) dan yang lain.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:
 

MIRI: Sistem adat dalam pelantikan ketua kampung khususnya dalam kalangan masyarakat Orang Ulu perlu terus dipertahankan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan tradisional yang menjadi tunjang keharmonian sesebuah komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau berkata, pelantikan Ketua Kampung (KK) Long Batan yang baharu, Augustine Lunyau Seling, membuktikan komitmen kerajaan dalam menyokong serta mempertahankan sistem adat yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

Menurut beliau, pelantikan seseorang ketua kampung perlu dilakukan mengikut adat dan susur galur kepimpinan yang diiktiraf masyarakat setempat, khususnya daripada golongan pemimpin atau Maren/Paren.

“Pelantikan KK Augustine menunjukkan saya dan kerajaan menyokong serta mempertahankan sistem adat dalam pelantikan ketua kampung.

“Pelantikan harus datang daripada golongan yang memimpin dan mempunyai keturunan kepimpinan yang diiktiraf masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kesyukuran Pelantikan Ketua Kampung Long Batan yang baharu serta perasmian Dewan Aban Jau di Long Batan, semalam.

Dalam ucapannya, Dennis turut menegaskan bahawa proses peralihan kepimpinan kampung perlu berjalan lancar kerana individu yang dipilih merupakan pemimpin yang datang daripada jalur kepimpinan kampung dan mendapat sokongan masyarakat setempat.

Sehubungan itu, beliau tidak bersetuju dengan cadangan pihak tertentu, khususnya pembangkang, yang mahu jawatan ketua kampung dipilih melalui sistem pengundian terbuka.

“Adat dan budaya yang telah diwarisi perlu terus dipertahankan kerana ia merupakan identiti serta asas pentadbiran masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya.

Pada masa sama, beliau menekankan bahawa seseorang pemimpin perlu memiliki integriti yang tinggi, bersikap jujur dan sentiasa melakukan perkara yang betul walaupun tanpa pengawasan orang lain.

Katanya, reputasi serta kepercayaan rakyat merupakan aset paling berharga bagi seseorang ketua kampung dan perlu dipelihara melalui pelaksanaan tugas yang amanah serta penuh dedikasi.

“Ketua kampung juga mesti memahami tanggungjawab yang dipikul, mendapat kepercayaan penduduk serta menunaikan janji yang telah dibuat sebagai seorang pemimpin,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Augustine atas pelantikan tersebut dan berharap Kampung Long Batan akan terus maju serta diberkati di bawah kepimpinannya.

Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak Dominic Nyurang Akang, Penghulu Dennis Madang, Penghulu Dennis Tija serta beberapa ketua kaum di kawasan sekitarnya.