Always remain vigilant against cybercrime threats.

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

Lee menerima cendermata penghargaan daripada Majanah sambil disaksikan Mohd Syafiq (kanan).

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:
 

MIRI: Warga bandar raya ini perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman jenayah siber serta penyalahgunaan dadah, perjudian haram dan mengutamakan keselamatan jalan raya demi mewujudkan komuniti yang selamat, harmoni dan sejahtera.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkembangan teknologi masa kini menyaksikan bentuk jenayah semakin berubah apabila jenayah siber dan penipuan dalam talian atau ‘scam’, mulai menjadi ancaman utama kepada masyarakat.

Menurut beliau, hampir setiap hari terdapat laporan mengenai mangsa yang kehilangan wang simpanan akibat diperdaya sindiket penipuan yang menggunakan pelbagai taktik canggih termasuk menyamar sebagai pegawai kerajaan, pegawai bank, polis dan syarikat penghantaran.

“Jangan mudah percaya kepada panggilan telefon, mesej atau pautan yang diterima daripada pihak yang tidak dikenali. Jangan sesekali berkongsi maklumat perbankan, kata laluan atau kod pengesahan transaksi (OTP) kepada mana-mana pihak.

“Ramai mangsa menjadi mangsa scam bukan kerana cuai, tetapi kerana penjenayah semakin bijak memanipulasi teknologi dan psikologi manusia.

“Oleh itu, setiap individu perlu sentiasa menyemak dan mendapatkan pengesahan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya.

Lee yang juga ADUN Senadin berkata demikian ketika merasmikan Program Sembang Santai anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Lutong dan Kelab Wanita Lutong Miri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Miri, di sini, petang semalam.

Lee berkata, program seumpama itu amat penting kerana menyediakan platform kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak polis, mendapatkan maklumat yang tepat serta meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu keselamatan semasa.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa penyalahgunaan dadah terus menjadi cabaran besar kepada masyarakat kerana bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah mampu menghancurkan institusi keluarga serta menjejaskan masa depan generasi muda.

Lee juga mengingatkan masyarakat mengenai ancaman perjudian haram yang kini semakin mudah diakses menerusi platform dalam talian.

“Ramai yang terpengaruh dengan janji keuntungan segera, namun akhirnya terperangkap dalam masalah hutang dan tekanan hidup yang berpanjangan.

“Justeru, pendidikan, kesedaran dan pengawasan daripada keluarga serta masyarakat amat penting dalam membentuk komuniti yang sihat dan bebas daripada gejala negatif,” ujarnya.

Menyentuh aspek keselamatan jalan raya, Lee berkata walaupun kerajaan terus mempertingkatkan infrastruktur jalan raya dan kemudahan pengangkutan, faktor manusia masih menjadi antara penyumbang utama kemalangan jalan raya.

Katanya, antara punca utama yang sering dikenal pasti ialah memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu dalam keadaan letih atau mengantuk serta memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Tiada perjalanan yang lebih penting daripada nyawa. Jika mengantuk, berhentilah berehat. Jika letih, tangguhkan perjalanan seketika dan jika mengambil minuman beralkohol, jangan memandu,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa usaha membanteras jenayah, penyalahgunaan dadah, perjudian haram dan meningkatkan keselamatan jalan raya memerlukan komitmen serta kerjasama semua pihak.

Ibu bapa juga perlu sentiasa memantau perkembangan anak-anak agar tidak terjebak dengan gejala sosial manakala pemimpin masyarakat dan ahli komuniti harus peka terhadap keadaan sekeliling serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan.

Sehubungan itu, Lee berharap program seperti itu akan terus diperluaskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat, malah mengukuhkan hubungan antara rakyat dan pihak berkuasa demi kesejahteraan bersama.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Miri Superintenden Mohd Syafiq Jinuin Abdullah, yang juga penceramah jemputan serta Ketua Kaum Kampung Pengkalan Lutong Majanah Mohamed Yusope serta ketua masyarakat setempat.