Man reported missing while bathing in Baram River; search and rescue operation continues.

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

Operasi SAR mangsa hilang di Sungai Baram. - Gambar JBPM

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:


MIRI: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas tenggelam ketika mandi di Sungai Baram berhampiran Kampung Long Miri, Baram pada petang Sabtu masih belum ditemui sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama ditangguhkan pada Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Maxwell Laing Michael, 37 tahun dipercayai tenggelam ketika mandi di sungai berkenaan sekitar jam 3.30 petang pada 6 Jun lalu.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.30 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi digerakkan ke lokasi kejadian.

Operasi SAR hari pertama dijalankan dengan radius pencarian sejauh kira-kira tiga kilometer ke hilir Sungai Baram menggunakan teknik pencarian permukaan air (water surface search).

Operasi pencarian turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Long Lama serta kira-kira 20 penduduk kampung yang menggunakan empat buah bot bagi membantu usaha mengesan mangsa.
 

Beliau berkata, sehingga operasi ditangguhkan pada jam 5 petang Ahad, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR akan disambung semula pada Isnin.

Pasukan SAR dilaporkan bermalam di Kampung Daleh Long Pelutan bagi memudahkan operasi diteruskan keesokan hari.

Sementara itu, menurut pengadu yang juga isteri mangsa, Susana Asong, 30, kejadian berlaku ketika mereka bersama ahli keluarga dan penduduk kampung mandi di Sungai Baram berhampiran Kampung Long Lama.

Katanya, mangsa telah berenang ke bahagian tengah sungai sebelum dilihat terkapai-kapai dan tenggelam. Mangsa tidak muncul semula selepas itu.

Kejadian tersebut turut disaksikan oleh isteri dan anak mangsa serta kira-kira 15 penduduk Kampung Long Miri yang berada di lokasi ketika itu.

Operasi SAR melibatkan tiga anggota BBP Marudi dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, selain bantuan dua anggota PDRM Long Lama dan penduduk kampung.