MIRI: Tujuh individu mengalami kecederaan ringan dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan pacuan empat roda di Rumah Jampi, Jalan Suai-Niah, Pan Borneo Bintulu-Miri Highway, petang Ahad.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melaporkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.10 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi.
Kemalangan tersebut melibatkan sebuah Toyota Hilux berwarna hitam yang dinaiki tiga individu iaitu dua wanita dan seorang lelaki, serta sebuah Toyota Hilux berwarna perak yang membawa empat penumpang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.
Setibanya di lokasi, pihak bomba menjalankan penilaian awal dan pemantauan sebelum mendapati semua mangsa yang cedera telah dihantar ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Tiada operasi penyelamatan dijalankan kerana kesemua mangsa telah dikeluarkan dan dibawa mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba.