MIRI: Projek bekalan air bersih bernilai RM8,993,906 untuk kampung-kampung di kawasan Tinjar kini berjalan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau berkata, projek yang bermula pada 15 April tahun lalu itu telah mencapai tahap kemajuan 33.3 peratus dan dijangka menamatkan kebergantungan penduduk terhadap sumber air yang tidak konsisten daripada sistem graviti.
“Projek yang telah lama dinantikan ini dijangka siap pada Oktober tahun ini dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penduduk, bukan sahaja di Long Loyang malah turut melibatkan kampung berhampiran iaitu Long Batan,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak pada Sabtu lepas.
Dennis berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).
Menurut beliau, HDA turut melaksanakan projek bekalan air bersih yang sama di beberapa kampung lain dalam kawasan Telang Usan termasuk Long Pillah, Long Pelutan, Long Bemang dan Long Kevok.
“Penyediaan bekalan air bersih merupakan antara keutamaan utama Kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Pelaksanaan projek-projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur asas serta memastikan lebih ramai penduduk di kawasan pedalaman mendapat akses kepada bekalan air bersih yang berkualiti,” tambahnya.