RM450,000 restoration project to repair damage on Jalan Hill

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

Lee mendengar taklimat daripada Mohd Ismail (empat kanan) mengenai perkembangan projek tersebut hari ini.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:

MIRI: Projek pemulihan bernilai RM450,000 bagi membaik pulih satu seksyen Jalan Hill yang terletak bertentangan dengan Taman Awam Miri dan mengalami kerosakan akibat hakisan pada penghujung tahun lalu dijangka siap sepenuhnya bulan depan, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.

Lee berkata, projek yang bermula pada 22 April lalu kini berjalan lancar dan telah mencapai kemajuan sebanyak 45 peratus.

“Projek ini dijadualkan siap pada 21 Julai tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak di kawasan berkenaan, hari ini. 

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, projek tersebut dibiayai menerusi peruntukan kecemasan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau menjelaskan, skop kerja projek merangkumi pembinaan sistem saliran konkrit sepanjang 61 meter dengan lebar 1.5 meter, selain tambahan saliran tanah sepanjang 91 meter.

“Selain itu, satu lagi lintasan jalan menggunakan paip PVC sepanjang 14 meter turut akan dibina,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pihak kontraktor supaya melaksanakan kerja-kerja pembinaan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kerosakan kepada kawasan kediaman berhampiran.

Turut hadir ialah Jurutera Majlis Bandaraya Miri (MBM) Mohd Ismail Yusuf.