MIRI, 18 Julai: Program Green Heroes’ Community Tour 2026: Jelajah Komuniti Lestari Bandaraya Miri menjadi platform memperkukuh penglibatan masyarakat dalam menjayakan agenda pembangunan mampan serta membudayakan amalan hijau di peringkat komuniti.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, penganjuran program berkenaan membuktikan komitmen berterusan Majlis Bandaraya Miri dalam membawa agenda kelestarian terus kepada masyarakat, dan bukan sekadar terhad kepada majlis pelancaran.
Menurutnya, siri kedua jelajah itu yang berlangsung di Kampung Pujut Adong merupakan kesinambungan daripada pelancaran rasmi yang diadakan pada 11 Julai lalu di Kampung Piasau Jaya.
“Ini membuktikan bahawa komitmen Majlis Bandaraya Miri terhadap pembangunan lestari bukan sekadar satu majlis pelancaran, tetapi satu usaha berterusan untuk membawa agenda kelestarian terus ke tengah-tengah komuniti,” katanya Ketika berucap pada perasmian Green Heroes Community Tour 2026: Jelajah Komuniti Lestari Bandaraya Miri Siri Kedua di Kampung Pujut Adong, di sini, hari ini.
Adam berkata, program itu merupakan inisiatif di bawah Program Kampung Angkat LA21 SDG Bandaraya Miri yang menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Katanya, pelbagai aktiviti dirangka menerusi program itu termasuk kempen Zero Litter, gotong-royong, program penanaman pokok, kempen Buy Back, ceramah kesedaran SDG, saringan kesihatan percuma serta pameran agensi.
“Melalui aktiviti seperti ini, kita bukan sahaja menyuntik kesedaran masyarakat, malah membina budaya hidup yang lebih sihat, bersih dan lestari,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha kelestarian perlu bermula daripada rumah, kampung dan komuniti menerusi tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten oleh setiap individu.
Menurut beliau, amalan seperti pengasingan sisa, penanaman pokok, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta menjaga kebersihan kawasan sekitar mampu membawa perubahan besar kepada bandar raya Miri.
“Green Heroes Community Tour 2026 bukan sekadar satu siri program, tetapi satu gerakan komuniti. Hasrat Majlis Bandaraya Miri adalah jelas, setiap kampung menjadi Green Heroes, setiap komuniti menjadi komuniti kelestarian dan seluruh bandar raya Miri menjadi contoh pembangunan mampan di Sarawak,” tambahnya.
Beliau turut menyeru seluruh warga Miri agar terus memainkan peranan sebagai Green Heroes dalam kehidupan seharian bagi membina bandar raya yang lebih bersih, hijau, sihat dan lestari untuk generasi akan datang. – TVS