Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, program yang bermula di Kampung Piasau Jaya itu membuktikan komitmen berterusan MBM untuk memastikan agenda kelestarian bukan sekadar dasar di atas kertas, malah diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Menurut beliau, pendekatan turun padang menerusi siri jelajah tersebut bertujuan memperkasakan komuniti agar menjadi rakan strategik dalam memelihara alam sekitar, meningkatkan kesejahteraan sosial dan membina bandar raya yang lebih hijau serta mampan.
“Komuniti yang kukuh adalah asas kepada sebuah bandar raya yang berdaya tahan. Melalui program ini, kita membawa agenda pembangunan mampan terus kepada masyarakat supaya mereka memainkan peranan aktif dalam melindungi alam sekitar dan bersama-sama membentuk masa depan Miri yang lebih lestari,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Green Heroes’ Community Tour 2026 di Taman Rekreasi JKKK Piasau Jaya di sini, hari ini.
Yii berkata, pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang siri jelajah berkenaan termasuk Kempen Buy-Back: Waste to Wealth, gotong-royong komuniti, pameran agensi, pertandingan Upcycle Art, ceramah kesedaran alam sekitar serta kempen mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Selain itu katanya, kempen seperti ‘Katakan Tidak kepada Styrofoam’, ‘No to Plastic Straw’, ‘Bring Your Own Bottle’ serta pelbagai aktiviti pendidikan dan pertandingan yang mempromosikan amalan Reduce, Reuse and Recycle (3R) turut diadakan bagi memupuk budaya kelestarian dalam kalangan masyarakat.
Beliau menegaskan, kejayaan sesebuah bandar raya tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui keupayaan menjaga alam sekitar, memperkasa komuniti serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Melalui kerjasama erat antara kerajaan, komuniti, sektor swasta, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita mampu mewujudkan bandar raya yang lebih bersih, sihat, inklusif dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Yii merakamkan penghargaan kepada semua jabatan kerajaan, agensi, rakan strategik SDG Bandaraya Miri, institusi pendidikan, NGO, pemimpin komuniti dan penduduk kampung yang terus memberikan sokongan terhadap pelbagai inisiatif kelestarian yang dilaksanakan oleh MBM.
Beliau berharap setiap Kampung Angkat LA21/SDG dapat dijadikan model komuniti lestari yang bersih, hijau, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan Bandaraya Miri.
Pada majlis itu, beliau turut mengisytiharkan Green Heroes’ Community Tour 2026: Jelajah Komuniti Lestari Bandaraya Miri menerusi Program Kampung Angkat LA21/SDG Bandaraya Miri dirasmikan dengan tema 'Jejak Pelancongan Lestari Menganyam SDG di Setiap Destinasi.'