MIRI, 11 Julai: Kejayaan sesebuah bandar tidak hanya bergantung kepada pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi, tetapi turut diukur melalui keupayaan memelihara alam sekitar serta memastikan pembangunan yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, konsep pembangunan bandar mampan perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata, pendekatan itu menjadi asas kepada pelaksanaan Green Heroes’ Community Tour 2026: Jelajah Komuniti Lestari Bandaraya Miri menerusi Program Kampung Angkat LA21/SDG Bandaraya Miri yang bertujuan membawa agenda kelestarian terus kepada masyarakat.
“Melalui Green Heroes’ Community Tour 2026, kami membawa agenda pembangunan mampan secara terus kepada komuniti, memperkasakan penduduk untuk menjadi rakan kongsi aktif dalam melindungi alam sekitar, memperkukuh kesejahteraan sosial serta membina masa depan yang lebih hijau untuk Miri.
“Inisiatif ini mencerminkan keyakinan kami bahawa perubahan yang berkekalan hanya dapat dicapai apabila kerajaan, komuniti, sektor perniagaan, institusi pendidikan dan masyarakat sivil bekerjasama ke arah matlamat yang sama,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Kampung Piasau Jaya Miri, di sini hari ini.
Adam Yii berkata, Majlis Bandaraya Miri (MBM) mahu memastikan agenda kelestarian tidak hanya kekal sebagai dasar, tetapi diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Katanya, perubahan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, komuniti, sektor perniagaan, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat sivil.
“Sebagai sebuah bandar, kejayaan kita bukan hanya diukur melalui infrastruktur atau pertumbuhan ekonomi. Ia juga diukur melalui bagaimana kita menjaga alam sekitar, memperkasakan komuniti dan memastikan tiada siapa yang tercicir dalam arus pembangunan,” katanya.
Siri jelajah berkenaan akan diteruskan ke 15 Kampung Angkat LA21/SDG Bandaraya Miri sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amalan hijau serta tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.
Sepanjang jelajah itu, pelbagai aktiviti kesedaran alam sekitar telah dirancang termasuk kempen Buy-Back Campaign: Waste to Wealth, gotong-royong komuniti, pameran agensi, pertandingan Upcycle Art, ceramah kesedaran alam sekitar serta kempen mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Turut dianjurkan ialah Kempen Katakan Tidak kepada Styrofoam, Kempen No to Plastic Straw, Kempen Bring Your Own Bottle, pertandingan mewarna serta aktiviti pendidikan yang menggalakkan amalan 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle.-TVS