Program tersebut dirangka sebagai satu strategi untuk membawa agenda pembangunan mampan terus ke peringkat akar umbi melalui pendekatan turun padang, sekali gus memperkukuh penglibatan komuniti dalam menjayakan SDG serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
Tidak seperti program kesedaran yang hanya diadakan secara berkala di satu lokasi, GHCT dilaksanakan secara berperingkat melibatkan 15 Kampung Angkat LA21/SDG Bandar Raya Miri.
Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Pulau Melayu, Kampung Pujut Adong, Kampung Pujut Tanjung Batu, Kampung Pengkalan Lutong, Kampung Piasau Jaya 1 dan 2, Kampung Bakam, Kampung Piasau Utara, Kampung Bidayuh Lusut, Kampung Nanga Angkari, Kampung Lereng Bukit, Kampung Lusut Jaya 5, Kampung Nelayan Kuala Bakam, selain Rumah Jarek dan Rumah Kejaman Baru di Kampung Tunku Abdul Rahman serta Rumah Panjang Nanga Jela di Lambir.
Siri jelajah itu bermula di Kampung Piasau Jaya pada 11 Julai sebelum diteruskan ke kampung-kampung lain sebagai usaha memastikan agenda kelestarian dapat diterjemahkan melalui tindakan sebenar dalam komuniti.
Sepanjang siri jelajah tersebut, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk Kempen Beli Balik Barangan Kitar Semula: Sisa Kepada Nilai, gotong-royong komuniti, penanaman pokok, pertandingan Seni Upkitar, ceramah kesedaran alam sekitar, pameran agensi kerajaan dan swasta, Kempen Tanpa Beg Plastik Sekali Guna, Kempen Katakan Tidak Kepada Straw Plastik, Kempen Bawa Botol Sendiri, kempen menolak penggunaan polistirena, pertandingan mewarna serta pelbagai aktiviti interaktif yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Selain aktiviti lapangan, siri jelajah itu turut diperkasakan menerusi Program Bicara SDG yang menampilkan perkongsian ilmu daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).
Sesi tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan memelihara sumber semula jadi, pengurusan sungai secara lestari serta peranan komuniti dalam menyokong SDG.
Pameran turut disertai oleh SFC dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pemuliharaan alam sekitar, kebajikan komuniti serta perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan kepada masyarakat setempat.
Pada masa sama, peserta didedahkan dengan pelbagai ceramah kesedaran yang menyentuh aspek keselamatan di habitat buaya oleh SFC, pemeliharaan sungai oleh LSS serta pencegahan denggi oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.
Pendekatan itu bertujuan memperkukuh pengetahuan masyarakat mengenai keselamatan awam, kesihatan dan pemeliharaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada amalan hidup lestari.
Bagi memperkasakan amalan ekonomi kitaran, syarikat kitar semula dilantik sebagai rakan pelaksana Kempen Beli Balik Barangan Kitar Semula: Sisa Kepada Nilai.
Kerjasama itu bukan sahaja memudahkan penduduk menjual bahan kitar semula, malah menggalakkan pengasingan sisa di punca serta meningkatkan kadar kitar semula dalam komuniti.
Salah satu pencapaian paling membanggakan sepanjang siri jelajah tersebut ialah kejayaan mengumpulkan sebanyak 534 kilogram sampah menerusi Kempen Sifar Sampah dan gotong-royong komuniti.
Pencapaian itu mencerminkan semangat kesukarelawanan, kerjasama erat serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh penduduk, agensi kerajaan dan sukarelawan dalam memastikan persekitaran kampung sentiasa bersih, sihat dan kondusif.
Program itu juga menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara MBM, jabatan dan agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta komuniti setempat dalam membudayakan amalan Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula (3R).
Lebih penting, GHCT menyokong pelaksanaan beberapa SDG, termasuk SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim), SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air), SDG 15 (Kehidupan di Darat) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii berkata, pembangunan bandar raya yang mampan hanya dapat dicapai apabila masyarakat memainkan peranan secara aktif dalam menjaga alam sekitar.
Menurut beliau, amalan seperti mengasingkan sisa di punca, menanam pokok, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan menjaga kebersihan kawasan kediaman merupakan tanggungjawab bersama dalam membentuk bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya tahan.
Katanya, Wira Hijau bukan sekadar program kesedaran, tetapi satu gerakan komuniti yang bertujuan melahirkan lebih ramai ejen perubahan dalam masyarakat.
"Hasrat MBM ialah melihat setiap kampung menjadi Wira Hijau, setiap komuniti menjadi komuniti lestari dan seluruh bandar raya Miri menjadi contoh pembangunan mampan di Sarawak," katanya.
Antara komponen utama yang mendapat sambutan menggalakkan dalam siri jelajah tersebut ialah Kempen Beli Balik Barangan Kitar Semula: Sisa Kepada Nilai, yang diperkenalkan MBM sejak 2024.
Program itu memberi peluang kepada masyarakat menjual bahan kitar semula seperti plastik, kertas, logam, sisa elektronik dan minyak masak terpakai, sekali gus menggalakkan pengasingan sisa di punca serta mengurangkan jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan.
Pengerusi Jawatankuasa SDG MBM Kaunselor Jamil Bujang berkata, sambutan masyarakat terhadap program tersebut semakin memberangsangkan.
Menurut beliau, penduduk Miri kini mula menyedari bahawa banyak bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sampah sebenarnya mempunyai nilai ekonomi dan boleh ditukar kepada wang.
"Perubahan ini menunjukkan masyarakat semakin memahami bahawa pengurusan sisa bukan sahaja membantu menjaga kebersihan alam sekitar, malah boleh memberikan pulangan ekonomi kepada mereka," katanya.
Beliau berkata, peningkatan kesedaran itu dapat dilihat menerusi statistik kutipan yang terus meningkat setiap tahun.
Pada tahun pertama pelaksanaan, iaitu 2024, sebanyak dua siri program berjaya mengumpulkan 12,740.10 kilogram bahan kitar semula.
Jumlah itu meningkat kepada 15,503.10 kilogram menerusi lapan siri program pada 2025.
Lebih membanggakan, sehingga Jun 2026 sebanyak tujuh siri program telah dilaksanakan dengan jumlah kutipan mencecah 16,782.40 kilogram, sekali gus melepasi keseluruhan kutipan tahun 2025 walaupun masih berbaki beberapa siri program sehingga penghujung tahun.
Beliau berkata, satu lagi perkembangan positif ialah peningkatan kutipan minyak masak terpakai yang menunjukkan semakin ramai penduduk memilih untuk mengumpulkannya bagi tujuan kitar semula berbanding membuangnya ke longkang atau parit.
Langkah itu membantu mengurangkan pencemaran sistem saliran dan sungai, selain mengelakkan penyumbatan saluran air akibat pembuangan minyak secara tidak terkawal.
Sepanjang pelaksanaan program tersebut, sebanyak 45,025 tan sisa berjaya dialihkan daripada terus dihantar ke tapak pelupusan.
Pencapaian itu bukan sahaja mengurangkan beban tapak pelupusan, malah menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau serta memperkukuh amalan ekonomi kitaran di bandar raya ini.
Selain memberi tumpuan kepada pengurusan sisa, MBM turut menggunakan pendekatan kreatif bagi mendidik masyarakat mengenai kepentingan kelestarian.
Antaranya melalui penganjuran Pertandingan Inovasi Hijau: Seni Upkitar DIY (Seni Relief) sempena Karnival Mayfest 2026 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-21 MBM.
Pertandingan tersebut menghimpunkan penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan kakitangan MBM yang menghasilkan karya seni relief menggunakan bahan kitar semula serta bahan terpakai.
Program itu membuktikan bahawa bahan yang dianggap sebagai sisa masih mempunyai nilai apabila diolah secara kreatif menjadi karya seni bernilai tinggi, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai amalan kitar semula, memupuk budaya inovasi hijau dan memperkukuh penghayatan masyarakat terhadap konsep pembangunan mampan.
Komitmen tersebut turut diterjemahkan menerusi penganjuran Program Hari Pagi Tanpa Kereta Bandaraya Miri sempena Sambutan Hari Bandaraya Miri Ke-21 yang berlangsung di pekarangan Dewan Bandaraya Miri.
Penganjurannya menghimpunkan komuniti daripada pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti yang menekankan gaya hidup sihat, kelestarian alam sekitar dan kesedaran terhadap SDG.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah kayuhan dan jalan santai tanpa kereta, aktiviti kesejahteraan dan zumba, Permainan Alam Sekitar, Gerai Kreatif serta Gerai Hijau dan Pasar Artisan, persembahan komuniti serta pertandingan Mr & Miss Upcycled 2026 bertemakan ‘Fesyen Diberi Nafas Baharu Secara Lestari’.
Pertandingan itu mengetengahkan kreativiti peserta menghasilkan busana daripada bahan terpakai dengan elemen batik dan budaya tempatan, sekali gus mempromosikan amalan Upkitar, pengurangan sisa serta gaya hidup lestari.
Pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti Cabaran Roda SDG, Kuiz Alam Sekitar, Cabaran Pengasingan Bahan Kitar Semula, bengkel lukisan batik, kraf eko DIY dan Cabaran Eko, selain menikmati persembahan busking komuniti, Pasar Hijau, Jalan Makanan serta sesi bertemu dan beramah mesra bersama penulis buku tempatan.
Keseluruhan program itu membuktikan komitmen MBM dalam memperkukuh agenda bandar raya lestari, memperkasakan penglibatan komuniti serta membudayakan amalan hijau selaras dengan aspirasi SDG dan visi Miri sebagai bandar raya pintar dan lestari.
Melalui penganjuran Hari Pagi Tanpa Kereta Bandaraya Miri serta pelbagai program komuniti lain, MBM berjaya membuktikan bahawa usaha membentuk bandar raya lestari bukan sahaja bergantung kepada pembangunan fizikal, malah memerlukan penyertaan aktif masyarakat dalam mengamalkan gaya hidup mesra alam.
Kesemua program itu saling melengkapi dalam usaha membentuk masyarakat yang bukan sahaja memahami kepentingan menjaga alam sekitar, malah mengamalkan gaya hidup lestari secara konsisten.
Hakikatnya, kejayaan pembangunan mampan tidak boleh diukur semata-mata melalui jumlah program yang dianjurkan.
Lebih penting ialah perubahan sikap masyarakat yang mula mengasingkan sisa di rumah, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, membawa botol minuman sendiri, menghantar minyak masak terpakai ke pusat kutipan dan melihat bahan buangan sebagai sumber yang masih mempunyai nilai.
Jamil berkata, kejayaan sesebuah bandar raya lestari bukan diukur melalui jumlah program yang dianjurkan semata-mata, sebaliknya sejauh mana amalan hijau berjaya diterapkan sebagai budaya dalam kehidupan seharian masyarakat.
Menurut beliau, pembudayaan kelestarian perlu bermula daripada diri sendiri sebelum berkembang ke dalam keluarga, kawasan kejiranan dan seluruh komuniti.
"Setiap orang boleh memainkan peranan. Kita tidak perlu menunggu projek besar atau dasar baharu untuk membantu alam sekitar kerana perubahan boleh bermula dengan tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten setiap hari.
"Kurangkan penggunaan plastik sekali guna, amalkan konsep 3R, berjimat dalam penggunaan air serta elektrik, memilih mobiliti hijau apabila sesuai, mengurus sisa dengan betul serta memelihara kebersihan dan kehijauan persekitaran merupakan antara langkah mudah yang mampu memberi impak besar jika diamalkan secara berterusan.
"Pada masa sama, masyarakat juga digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti komuniti seperti gotong-royong, penanaman pokok dan program kitar semula kerana usaha secara kolektif akan menyemai budaya lestari yang lebih kukuh.
"Matlamat GHCT bukan sekadar menggalakkan orang ramai hadir ke program, tetapi membolehkan mereka membawa pulang ilmu dan menerapkannya dalam kehidupan seharian. Apabila setiap keluarga mengamalkan gaya hidup lestari, impaknya akan dirasai di seluruh bandar raya.
"Kelestarian bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau MBM tetapi tanggungjawab semua. Tindakan kecil hari ini mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan alam sekitar dan menjamin masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang," katanya.
Apa yang berlaku di Miri hari ini membuktikan bahawa perubahan besar terhadap alam sekitar bermula daripada tindakan kecil yang dilakukan secara bersama oleh seluruh komuniti.
Melalui gabungan pendidikan, inovasi, ekonomi kitaran dan penglibatan masyarakat menerusi GHCT serta Kempen Beli Balik Barangan Kitar Semula: Sisa Kepada Nilai, MBM bukan sahaja berjaya mengubah persepsi terhadap sampah, malah sedang membina sebuah budaya baharu yang meletakkan kelestarian sebagai sebahagian daripada cara hidup.
Jika momentum ini dapat dikekalkan, Miri bukan sahaja berpotensi menjadi bandar raya yang bersih dan hijau, malah muncul sebagai model pembangunan mampan yang boleh dicontohi oleh bandar-bandar lain di Sarawak dan Malaysia.