MIRI: Dua beradik terselamat namun rumah separuh kekal dua tingkat di Jalan Palma 4, Taman Permaisuri Indah, RPR Batu 6 di sini yang didiami mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima kira-kira jam 4 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dikejarkan ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.
Setibanya di tempat kejadian, komander operasi melaporkan rumah berukuran kira-kira 30 kaki x 30 kaki itu telah terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos bantuan awal berserta satu nozel serta satu aliran hos sepanjang 100 kaki dengan satu nozel menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran,” demikian menurut laporan itu sambil menambah, kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh kurang 20 minit.
Laporan turut menyatakan dua penghuni rumah berkenaan yang merupakan adik-beradik berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Selepas memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula dan keadaan benar-benar selamat, pasukan operasi kembali ke balai sekitar jam 6.18 pagi.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.