Menurut beliau, usaha memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap undang-undang syariah dan kepentingan penguatkuasaannya perlu dipertingkatkan secara berterusan bagi memastikan kesejahteraan ummah terus terjamin.
“Apabila syariah dipelihara dan dihormati, masyarakat akan hidup dalam keadaan aman, harmoni, berakhlak dan sejahtera.
"Syariah bukan sekadar peraturan atau hukuman semata-mata, sebaliknya merupakan sistem yang memandu kehidupan manusia ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah bertemakan ‘Syariah Terpelihara Ummah Makmur’ di sini, hari ini.
Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) selaku penganjur seminar kerana berjaya menghimpunkan pelbagai agensi, institusi dan lapisan masyarakat bagi membincangkan isu berkaitan penguatkuasaan undang-undang syariah di Sarawak.
Katanya, Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian terhadap usaha memperkukuhkan institusi agama Islam serta pembangunan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Beliau menegaskan, penguatkuasaan undang-undang syariah yang berkesan memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, badan penguatkuasaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, institusi masjid dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Seminar seperti ini amat penting dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama serta perkongsian ilmu antara semua pihak demi memelihara keharmonian masyarakat dan kesejahteraan ummah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang syariah hendaklah sentiasa berteraskan hikmah, profesionalisme dan keadilan.
Menurutnya, pegawai penguat kuasa agama perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta integriti dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Seminar itu turut menampilkan beberapa pembentang utama termasuk Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Ketua Unit Perlembagaan, Pentadbiran Hal Ehwal Islam dan Litigasi di Jabatan Peguam Negara Wan Ariff Muzammil Wan Mohamed, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim serta Ketua Bahagian Penguatkuasaan Syarikat merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAIS Awang Nib Zuhairi Awang Ahmad.