Syariah Law: A Pillar of Civilization and Harmony

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Awang Tengah menekapkan tangannya pada skrin tab bagi melancarkan perasmian Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah 2026 di Miri, hari ini, sambil disaksikan Dr Abdul Rahman (tiga kiri) dan yang lain.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online
 

MIRI:Undang-undang, khususnya undang-undang syariah, bukan sekadar satu set peraturan atau mekanisme perundangan, sebaliknya merupakan komponen utama dalam pembinaan peradaban, pemeliharaan keharmonian sosial dan kemajuan sesebuah negara.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sejarah telah membuktikan bahawa tiada tamadun yang mampu bertahan atau mencapai kegemilangan tanpa sistem perundangan yang kukuh dan berteraskan keadilan.

Menurut beliau, kegemilangan tamadun Islam pada masa lalu dicapai hasil pelaksanaan sistem syariah yang dinamik dan berasaskan maqasid syariah yang menitikberatkan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Pembinaan peradaban melalui undang-undang merujuk kepada proses membentuk nilai, moral dan struktur masyarakat yang bertamadun melalui penguatkuasaan peraturan yang adil.

“Undang-undang menetapkan sempadan tingkah laku, mengelakkan krisis moral dan memastikan keharmonian masyarakat, khususnya dalam sebuah negara majmuk seperti Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembagunan Bandar Kedua merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata demikian ketika merasmikan Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, peradaban yang utuh dan lestari tidak hanya dibina atas kemajuan fizikal, bangunan pencakar langit atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh sistem perundangan yang cekap serta pembentukan nilai moral masyarakat.

Katanya, undang-undang berfungsi sebagai benteng keadilan yang memelihara kepentingan ummah, menjaga institusi kekeluargaan dan memastikan keharmonian sosial terus terpelihara.

Dalam konteks pembangunan negeri, beliau menegaskan bahawa undang-undang memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan fizikal berjalan seiring dengan nilai kemanusiaan dan kelestarian sosial.

“Penguatkuasaan yang tegas mampu memastikan premis perniagaan, pusat komuniti dan ruang awam tidak disalahgunakan untuk aktiviti yang boleh meruntuhkan moral masyarakat.

“Dengan memelihara persekitaran daripada gejala sosial, kita sebenarnya sedang membina bandar dan komuniti yang lebih kondusif serta mendapat keberkatan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, Kerajaan Sarawak sentiasa memberi sokongan terhadap usaha memperkasakan perundangan Islam, namun pada masa sama terus berpegang kepada prinsip inklusiviti dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menurutnya, pelaksanaan undang-undang syariah di Sarawak ketika ini dilakukan secara profesional, berhemah dan menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan serta hak masyarakat bukan Islam.

“Keadilan Islam yang bersifat sejagat perlu dizahirkan melalui tadbir urus penguatkuasaan yang berintegriti, telus dan berteraskan prinsip rahmatan lil alamin,” katanya.

Mengulas cabaran semasa Awang Tengah berkata, perkembangan teknologi digital dan globalisasi menjadikan landskap perundangan semakin kompleks, sekali gus menuntut pegawai penguat kuasa, pendakwa serta pengamal undang-undang syariah meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka.

Beliau menyarankan agar penguat kuasa syariah menguasai teknologi moden serta forensik digital, meningkatkan kompetensi profesional secara berterusan dan mengamalkan nilai integriti serta budi pekerti yang tinggi ketika menjalankan tugas.

Selain itu, beliau turut menggesa Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) untuk terus memperkukuhkan kapasiti institusi penguatkuasaan melalui pembangunan sumber manusia, peningkatan kompetensi pegawai, penambahbaikan struktur pentadbiran serta penyediaan sokongan yang lebih mantap.

Katanya, penguatkuasaan yang konsisten dan berkesan mampu melindungi institusi keluarga, memelihara kesucian akidah serta menjadi benteng kepada masyarakat daripada ancaman gejala sosial.

“Apabila institusi keluarga terpelihara dan masyarakat bebas daripada unsur-unsur yang merosakkan, maka lahirlah komuniti yang harmoni dan sejahtera.

“Keamanan domestik merupakan asas penting kepada kestabilan sesebuah negeri kerana tanpa keamanan, pembangunan ekonomi dan fizikal tidak dapat dinikmati sepenuhnya,” katanya.

Beliau berharap seminar berkenaan dapat menjadi platform terbaik untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan undang-undang serta penguatkuasaannya dalam membentuk masyarakat yang aman, harmoni dan progresif.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha, Pengarah JAIS Mual Suaud serta Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak Hamdan Jar’ee.