Sarawak Maal Hijrah Celebration in Miri Expected to Gather 2,500 Muslims

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Dr Abdul Rahman (tengah), Misnu (empat kanan), Mual (empat kiri) serta yang lain menunjukkan poster Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 1448 Hijrah yang akan berlangsung di Miri pada sidang media hari ini.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online

MIRI: Kira-kira 2,500 umat Islam dijangka menghadiri dua acara utama sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 1448 Hijrah yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Jun ini, dengan Miri dipilih sebagai tuan rumah.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sambutan tahun ini yang bertemakan 'Ummah Maju Makmur' merupakan sebahagian daripada kalendar rasmi tahunan Kerajaan Sarawak dan bertujuan memperingati peristiwa hijrah di samping memupuk perpaduan serta keharmonian dalam masyarakat.

Katanya, program pertama iaitu Majlis Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Awal Tahun 1448 Hijrah, akan diadakan di Masjid At-Taqwa pada 16 Jun bermula jam 5.30 petang dan dijangka menarik kehadiran sekitar 1,500 peserta.

“Pada keesokan harinya, Majlis Perhimpunan Maal Hijrah 1448H akan berlangsung di Stadium Tertutup Miri bermula jam 9 pagi dengan anggaran kehadiran seramai 1,000 orang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman berkata, sambutan itu dijangka diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.