Sarawak Water urged to regularly update information on pipe repairs.

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Ting (kiri) ditemani pembantunya memantau harga dan bekalan air mineral serta minuman di sebuah pasar raya di Miri, hari ini. 

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online

MIRI: Sarawak Water Sdn Bhd (Sarawak Water) digesa terus mengemas kini perkembangan kerja-kerja pembaikan paip utama yang sedang dijalankan menerusi platform media sosial rasmi syarikat itu seperti Facebook bagi memastikan maklumat disampaikan secara telus kepada orang ramai.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang membuat gesaan itu berkata, langkah tersebut penting supaya masyarakat dapat memperoleh maklumat terkini daripada sumber yang sahih selain mengelakkan penyebaran khabar angin dan maklumat tidak tepat di media sosial.

Menurut beliau, sepanjang tempoh kerja pembaikan paip utama secara berjadual di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu, semalam yang bermula jam 5 petang hingga 8 malam ini, Sarawak Water disaran memuat naik perkembangan semasa secara berkala termasuk status kemajuan kerja, jangkaan tempoh siap dan proses pemulihan bekalan air.

“Saya berharap pihak Sarawak Water dapat memanfaatkan platform Facebook rasmi mereka dengan memberikan laporan perkembangan dari semasa ke semasa supaya rakyat mengetahui status sebenar kerja pembaikan yang sedang dijalankan.

“Pada masa ini, mereka telah pun melaksanakan amalan mengemas kini maklumat dan perkembangan kerja secara berterusan kepada orang ramai,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, penyampaian maklumat yang terbuka dan telus bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa berkaitan, malah membantu mengurangkan spekulasi serta kebimbangan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.

“Apabila rakyat melihat platform rasmi sentiasa dikemas kini, mereka akan tahu bahawa pihak berkaitan sedang bersungguh-sungguh menjalankan kerja pembaikan dan ini dapat memberi ketenangan kepada orang ramai.

“Jika terlalu lama tiada perkembangan dikongsikan, sudah tentu akan timbul pelbagai andaian dan kebimbangan,” katanya.

Terdahulu, Ting melakukan lawatan ke empat buah pasar raya di Miri bagi meninjau bekalan serta harga air minuman dan air mineral susulan gangguan bekalan air yang dijangka berlaku sepanjang tempoh kerja pembaikan tersebut.

Hasil tinjauan mendapati bekalan air minuman dan air mineral di pasaran masih mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna.

Sehubungan itu, beliau berharap para peniaga dapat mengekalkan harga jualan yang munasabah dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga demi meraih keuntungan berlebihan sepanjang tempoh gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, beliau berkata kerja pembaikan kali ini mendapat pemahaman dan kerjasama baik daripada rakyat kerana Sarawak Water telah membuat pengumuman awal serta melaksanakan perancangan lebih tersusun bagi membolehkan orang ramai membuat persiapan lebih awal.

Menurutnya, keadaan kali ini jauh lebih terkawal berbanding insiden gangguan bekalan air serius yang pernah berlaku di Miri beberapa tahun lalu, kerana notis awal telah diberikan kepada masyarakat.

“Perkara paling penting ialah memaklumkan kepada rakyat lebih awal supaya mereka bersedia dari segi mental dan keperluan harian,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pemberitahuan awal dalam sebarang isu yang melibatkan kepentingan rakyat amat penting kerana ia membolehkan penduduk menyimpan bekalan air secukupnya serta mengatur urusan harian tanpa perlu panik.

Pada masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada para peniaga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), rakyat Miri serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama yang diberikan.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus membeli air secara berhemah dan mengelakkan pembelian berlebihan bagi memastikan bekalan di pasaran kekal mencukupi sepanjang tempoh kerja pembaikan dijalankan.