PKS to expand its branch network to Peninsular Malaysia and Sabah

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Dennis (duduk, tengah) bersama ahli jawatankuasa tertinggi PKS.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online

MIRI: Persatuan Kayan Sarawak (PKS) akan mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan cawangan baharu di Sabah khususnya di Kota Kinabalu serta di Semenanjung khususnya Johor Bahru dan Kuala Lumpur, dalam usaha memperkukuh jaringan persatuan serta menyatukan komuniti Kayan yang berada di luar Sarawak.

Presiden PKS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan sebagai usul pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TGM) PKS 2026 yang dijadual pada 4 Julai depan di sini.

Menurut beliau, sekiranya usul berkenaan mendapat sokongan dan kelulusan para perwakilan, permohonan rasmi akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk pertimbangan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) PKS kali kedua bagi tahun 2026 di sini pada Isnin.

“Persidangan TGM 2026 merupakan antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat kali ini.

“Kami turut merancang pelbagai perkara berkaitan penganjurannya bagi memastikan persidangan berjalan lancar,” katanya.

Dennis berkata, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang akan dijemput sebagai tetamu kehormat untuk merasmikan persidangan itu kelak.

Beliau turut melahirkan penghargaan atas komitmen ahli-ahli CEC yang menghadiri mesyuarat sama ada secara fizikal mahupun dalam talian menerusi platform Zoom.

Menurutnya, sehingga kini PKS telah berjaya menubuhkan lapan cawangan di seluruh Sarawak dengan jumlah keahlian menghampiri 3,000 orang.

Pada masa sama katanya, usaha sedang dipergiatkan bagi menubuhkan cawangan baharu di Long Lama, Tubau dan Kanowit bagi memperluaskan lagi pengaruh serta peranan persatuan dalam kalangan masyarakat Kayan.

Pada mesyuarat itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa PKS tidak membenarkan penubuhan cawangan di peringkat rumah panjang kerana setiap rumah panjang telah mempunyai sistem pentadbiran dan kepimpinan tersendiri yang diiktiraf oleh Kerajaan Sarawak.

“PKS akan terus bekerjasama rapat dengan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) serta jawatankuasa rumah panjang masyarakat Kayan dalam memperkukuh perpaduan dan pembangunan komuniti,” katanya.

Selepas mesyuarat, Dennis bersama ahli-ahli CEC turut mengadakan lawatan ke Galeri Etnik Orang Ulu di Bangunan FORUM.

Katanya, lawatan itu bertujuan meninjau ruang pameran yang bakal mengetengahkan sejarah, warisan, budaya serta perjalanan kehidupan masyarakat Kayan di Sarawak.

Beliau berharap segala perancangan yang telah dibincangkan dalam mesyuarat dapat dilaksanakan dengan jayanya demi memperkukuh peranan PKS sebagai wadah penyatuan masyarakat, pemeliharaan warisan budaya dan pembangunan komuniti Kayan di negeri ini.