Beliau memberitahu, program yang bermula jam 5 petang hingga 8 malam itu dianjurkan sempena suasana perayaan selepas sambutan Hari Raya Aidiladha, Hari Gawai serta cuti sekolah.
Menurut beliau, program berkenaan akan menyajikan pelbagai juadah makanan tradisional selain menampilkan persembahan kebudayaan yang mencerminkan keunikan masyarakat berbilang kaum di bandar raya ini.
“Program ini akan menghimpunkan warga Miri tanpa mengira latar belakang dan memberi peluang kepada semua untuk bersama-sama meraikan perayaan dalam semangat persaudaraan, kekitaan serta nilai hormat-menghormati yang menjadi asas keharmonian masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata, selaras dengan tema Malam Serumpun Miri Kita, rumah terbuka itu akan menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan agama.
“Walaupun berbeza kaum, budaya dan kepercayaan, kita tetap berkongsi semangat kebersamaan yang sama sebagai warga Miri,” ujarnya.
Pada masa sama Chiew berkata, penganjuran program itu turut menyokong usaha mempromosikan kempen Visit Malaysia 2026 dengan menonjolkan keunikan budaya dan keharmonian masyarakat yang menjadi tarikan utama pelancongan di Miri dan Sarawak.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kehadiran orang ramai bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan program tersebut yang dijangka menjadi medan memperkukuh perpaduan masyarakat serta mempromosikan Miri sebagai destinasi pelancongan yang unik dan mesra budaya.