Good weather crucial to ensure Miri pipe repair works stay on schedule

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Lee ditemui pemberita selepas meninjau projek pembentung parit di Riam, pagi tadi.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online

MIRI: Faktor cuaca dikenal pasti sebagai antara cabaran utama yang berpotensi menjejaskan kerja-kerja baik pulih paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, keadaan cuaca yang baik adalah penting bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan, sekali gus membolehkan bekalan air dipulihkan secepat mungkin.

“Saya bimbang hujan akan turun. Jika hujan, ia akan mengganggu kerja-kerja yang sedang dijalankan serta menjejaskan jadual yang telah ditetapkan.

“Mudah-mudahan cuaca hari ini mengizinkan. Setakat ini, faktor cuaca merupakan perkara utama yang berpotensi menyebabkan gangguan kepada kerja-kerja tersebut.

“Oleh itu, kita berdoa agar hujan tidak turun supaya kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan dengan lancar dan berterusan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan projek pembentung di Riam, pagi tadi. 

Lee berkata, beliau telah meninjau sendiri tapak kerja berkenaan dan berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh semua pihak terlibat.

“Saya berada di tapak sekitar jam 5 petang semalam (Rabu) dan mendapati semua generator, jentera serta bahan yang diperlukan telah tersedia untuk memulakan kerja. 

“Pengurusan kanan, jurutera dan kontraktor juga berada di lokasi bagi memastikan kerja berjalan lancar,” katanya.

Menurut beliau, ketika kembali meninjau tapak berkenaan sekitar jam 9 malam, hujan renyai mula turun dan beliau bimbang keadaan cuaca boleh menjejaskan jadual kerja yang telah dirancang.

Lee yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri berkata, paip utama berkenaan merupakan infrastruktur kritikal yang membekalkan air kepada kira-kira 70 peratus penduduk bandar raya Miri.

Sehubungan itu, beliau turut memantau pusat pengagihan air serta pergerakan lori tangki air di seluruh Miri bagi memastikan bekalan air alternatif dapat disalurkan kepada penduduk yang terjejas.

“Semua tangki air perlu berada di lokasi yang ditetapkan supaya orang ramai dapat memperoleh bekalan air sepanjang tempoh gangguan ini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut memuji pihak utiliti air kerana membuat persiapan lebih rapi berbanding insiden gangguan bekalan air yang berlaku pada 2022.

“Kali ini mereka lebih bersedia dan perancangan juga lebih baik. Saya juga mengucapkan tahniah kerana sentiasa memaklumkan perkembangan kerja kepada orang ramai secara berkala supaya masyarakat mengetahui status sebenar di lapangan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa walaupun kerja pembaikan siap mengikut jadual, bekalan air memerlukan sedikit masa untuk dipulihkan sepenuhnya kerana proses pengepaman perlu dilakukan terlebih dahulu.

“Penduduk di kawasan yang jauh seperti Kampung Masjid Kuala Baram mungkin menjadi antara yang terakhir menerima semula bekalan air,” jelasnya.

Lee berkata beliau turut menghadiri beberapa mesyuarat persediaan sebelum kerja pembaikan dimulakan bagi memastikan gangguan bekalan air dapat ditangani dengan berkesan dan bekalan dipulihkan secepat mungkin.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi LAKU berkata, pengalaman mengendalikan isu bekalan air sebelum ini membolehkannya memahami cabaran teknikal yang dihadapi dalam operasi pembaikan paip utama tersebut.

Selain itu, beliau turut mengarahkan kerja pembaikan lampu jalan di kawasan tapak projek selepas mendapati lima hingga enam lampu jalan tidak berfungsi, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan memandangkan keadaan trafik yang sibuk pada waktu malam.

“Saya terus menghubungi pihak Sarawak Energy malam tadi supaya lampu jalan berkenaan diperbaiki segera kerana kawasan itu sangat gelap dan terdapat kerja-kerja pembaikan yang dijalankan sepanjang malam,” katanya.