6,000 cartons of bottled Water delivered to Miri: Lee

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Gambar hiasan

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online

MIRI: Sebanyak 6,000 karton air botol telah dibawa masuk ke Miri bagi membantu menampung keperluan penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air di beberapa kawasan di bandar raya ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penghantaran bekalan air botol itu telah dilepaskan sepenuhnya dan kini sedang diedarkan ke pasaran bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan orang ramai.

Menurut beliau, pihak Pelabuhan Miri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah memberikan kerjasama penuh dengan mempercepatkan proses pelepasan kontena yang membawa bekalan air botol ke Miri.

“Setakat ini, satu penghantaran yang membawa kira-kira 6,000 karton air botol telah dilepaskan sepenuhnya untuk diedarkan kepada pengguna.

“Semua langkah yang perlu telah diambil bagi memastikan bekalan mencukupi dan dapat diperoleh oleh orang ramai,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Lee turut menasihatkan para peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sepanjang tempoh gangguan bekalan air.

“Saya ingin menasihatkan semua penjual air botol supaya tidak mengambil kesempatan kerana ketika ini rakyat amat memerlukan bekalan air.

“Saya juga meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik agar bekalan yang ada dapat dinikmati oleh semua pengguna,” katanya.

Lee berkata, bekalan tambahan air botol terus dibawa masuk ke Miri melalui pengedar-pengedar tempatan dan keadaan bekalan ketika ini berada pada tahap terkawal.

Pada masa sama, beliau berkata pihak berkuasa berkaitan turut diminta memantau situasi bekalan dan harga jualan air botol bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap kesulitan yang dihadapi rakyat.

Beliau yakin dengan pertambahan bekalan yang masuk ke pasaran, keperluan penduduk akan dapat dipenuhi sementara menunggu gangguan bekalan air pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, Lee menggesa orang ramai menggunakan air secara berhemah dan hanya untuk keperluan penting sepanjang tempoh gangguan bekalan.