Chiew inspects main pipe repair works, appreciates Sarawak Water’s commitment

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Chiew diterangkan tentang kemajuan terkini projek baik pulih paip utama Batu 7 hari ini.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online 

MIRI: Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man hari ini turun padang meninjau kerja-kerja baik pulih paip utama di Batu 7, Jalan Miri–Bintulu bagi melihat sendiri perkembangan usaha pemulihan bekalan air yang sedang dijalankan.

Menurut beliau, berdasarkan taklimat yang diterima di tapak, kerja-kerja baik pulih telah dilaksanakan tanpa henti sejak pagi semalam dengan pasukan pekerja bertugas secara bergilir-gilir bagi memastikan proses pemulihan dapat disiapkan secepat mungkin.

“Saya dimaklumkan bahawa pasukan pekerja hanya bergilir-gilir berehat dan tidur pada waktu malam sebelum menyambung semula tugas mereka, malah pihak pengurusan turut berada di lapangan bagi memantau dan memastikan kerja-kerja pemulihan berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Sarawak Water, pasukan kontraktor, jurutera, kakitangan teknikal, pekerja lapangan serta semua pihak yang terlibat atas komitmen, pengorbanan dan kerja keras mereka dalam menangani gangguan bekalan air yang menjejaskan penduduk Miri.

Pada masa sama, Chiew berharap keadaan cuaca terus mengizinkan agar segala kerja baik pulih dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya mendapatkan bekalan air di lokasi-lokasi pengambilan air yang disediakan oleh Sarawak Water serta menggunakan air secara berhemah sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

Dalam kenyataan sama, beliau memuji pendekatan Sarawak Water yang sentiasa menyalurkan maklumat secara terbuka, telus dan berkesan menerusi kemas kini berkala di media sosial, termasuk siaran langsung dan laporan perkembangan hampir setiap jam dari tapak kerja.

“Komunikasi yang jelas seperti ini amat penting bagi mengurangkan keresahan orang awam serta memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang tepat daripada sumber rasmi,” ujarnya.

Beliau juga menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi Sarawak Water bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan gangguan bekalan air, mengurus serta membayar bil air, selain membuat aduan atau laporan sekiranya berlaku kebocoran paip di kawasan masing-masing.

Chiew berkata beliau yakin dengan kerjasama semua pihak, kesabaran penduduk serta usaha gigih pasukan di lapangan, kerja-kerja pemulihan dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya akan terus mengikuti perkembangan semasa dan membantu menyalurkan maklumat kepada penduduk Miri apabila diperlukan,” katanya.