Miri residents begin receiving water supply from Sarawak Water Tanks

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Lee menemui penduduk yang mendapatkan bekalan air di tangki air yang disediakan hari ini. - Gambar UKAS


This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online
 

MIRI: Penduduk di beberapa kawasan terjejas di bandar raya ini mula mendapatkan bekalan air dari tangki statik yang disediakan Sarawak Water berhampiran kediaman mereka susulan kerja-kerja baik pulih paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu yang bermula semalam.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, beliau telah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi penempatan tangki air bagi memastikan kemudahan tersebut mencukupi untuk kegunaan penduduk.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri berkata, lawatan itu melibatkan lokasi tangki air di Permyjaya, Desa Senadin dan Tudan.

“Pagi ini saya mengadakan lawatan untuk meninjau lokasi tangki-tangki air yang disediakan supaya penduduk yang tinggal berdekatan dapat mengambil bekalan air dengan mudah.

“Di Permyjaya terdapat dua lokasi termasuk berhampiran MYY Mall manakala di Desa Senadin juga terdapat dua lokasi.

"Di Tudan pula terdapat satu lokasi yang disediakan,” katanya.

Menurut beliau, lawatan tersebut bertujuan memastikan lokasi pengambilan air dan jumlah tangki yang ditempatkan adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk sepanjang gangguan bekalan air berlaku.

Pada masa sama, Lee turut mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi memudahkan orang ramai mengambil bekalan air dari tangki yang disediakan.

“Saya mendapati ada penduduk yang membawa botol besar dan bekas simpanan air untuk diisi.

"Oleh itu, saya mencadangkan supaya setiap pili air dipasang dengan hos bagi memudahkan air disalurkan terus ke dalam bekas.

“Langkah ini bukan sahaja memudahkan proses pengisian air, malah dapat mengurangkan pembaziran akibat air yang tertumpah,” jelasnya.

Beliau berkata, penambahbaikan tersebut akan membantu memastikan proses pengambilan bekalan air berjalan lebih lancar dan selesa untuk penduduk yang terjejas.