Ting receives SITF Tourism Pioneer Award in Seoul

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Ting (tengah) menerima Anugerah Pelopor Pelancongan Cemerlang SITF 2026 (Kategori Luar Negara) pada acara SITF 2026 di COEX, Republik Korea baru-baru ini.


This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting menerima Anugerah Pelopor Pelancongan Cemerlang SITF 2026 (Kategori Luar Negara) pada Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul Ke-41 (SITF 2026).

Sumber daripada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) melaporkan, anugerah berprestij itu disampaikan semasa pameran yang berlangsung dari 4 hingga 6 Jun lalu di COEX, Republik Korea.

Seiring dengan penerimaan anugerah tersebut, ADUN Piasau itu turut mewakili Sarawak pada majlis perasmian SITF 2026 bersama pemimpin industri pelancongan dari Republik Korea, Sri Lanka, Nepal, Kemboja, Filipina dan Brunei.

Kehadiran Sarawak pada pameran tersebut turut diperkukuhkan menerusi penyertaan gerai pameran oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Dalam lawatan tersebut, Ting turut mengetuai delegasi kementerian ke Persidangan Industri Pelancongan Dunia Ke-5 (WTIC 2026) yang berlangsung dari 4 hingga 6 Jun lalu di Seoul dan Suwon.

Persidangan itu menghimpunkan pemimpin pelancongan global dari beberapa negara termasuk Jepun, Sri Lanka, Filipina, Nepal, Kemboja, Guam, Brunei dan Uzbekistan bagi bertukar pandangan serta dasar strategik berkaitan pembangunan sektor pelancongan jangka panjang.

Sebagai salah seorang penceramah jemputan, Ting menyampaikan pembentangan yang selaras dengan tema persidangan 'Living-in-Travel: Long Stay Tourism as a New Business Frontier', yang memfokuskan potensi pelancongan jangka panjang sebagai bidang perniagaan baharu.

Penyertaan dalam kedua-dua acara antarabangsa itu menyediakan platform penting untuk Sarawak mempromosikan produk dan tarikan pelancongannya di peringkat global, selain memperkukuhkan komitmen negeri dalam membangunkan produk pelancongan jangka panjang yang mampan.