Selain itu, Sarawak Water juga akan melakukan aktiviti curahan bagi memastikan kualiti bekalan air berada pada tahap yang memuaskan sebelum bekalan dipulihkan sepenuhnya kepada pengguna.
"Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh kira-kira 12 jam akan datang memandangkan sistem agihan berskala besar memerlukan masa untuk diisi semula, distabilkan dan mencapai tekanan operasi yang normal," jelasnya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan Sarawak Water dan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang telah bertungkus-lumus dan memberikan komitmen penuh sepanjang pelaksanaan kerja-kerja baik pulih ini.
Penghargaan juga untuk Pejabat Residen Bahagian Miri, Pejabat Daerah Miri, Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Majlis Bandaraya Miri, PDRM, ATM, PBSM, KPDN, Hospital Miri, wakil-wakil rakyat di Bahagian Miri, rakan-rakan media dan sukarelawan.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merakamkan penghargaan kepada seluruh pengguna di Bahagian Miri atas kesabaran, kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air.
"Adalah menjadi harapan kita agar proses pemulihan bekalan air dapat berjalan dengan lancar dan semua kawasan yang terjejas akan menerima semula bekalan air seperti biasa dalam kadar segera," jelasnya lagi.