MIRI: Pelajar diingatkan agar tidak menunggang basikal khususnya lajak yang telah diubah suai, di jalan raya utama.
Ia antara peringatan dan nasihat yang disampaikan kepada pelajar di sini oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri ketika melaksanakan Program Ceramah Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Kebangsaan (SK) St Columba Miri.
Selain itu, mereka juga diingatkan agar tidak bermain layang-layang berhampiran jalan raya kerana boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Mereka juga disaran menjadikan pemakaian topi keledar sebagai satu keperluan keselamatan dan bukannya sekadar aksesori ketika menaiki motosikal.
Ceramah dikendalikan Pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Miri Inspektor G. Visvanathan Guna Cekeren, yang turut disertai Sarjan Mejar Mohd Khairul Annuar Ahmad Kassim serta seorang anggota trafik.
Program tersebut diadakan susulan jemputan pihak sekolah bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai aspek keselamatan ketika menggunakan jalan raya.
Aktiviti disertai seramai 371 pelajar dan 15 guru yang memberi penerangan tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya, pengenalan kepada isyarat lalu lintas, kepatuhan terhadap lampu isyarat serta penggunaan tali pinggang keledar ketika menaiki kenderaan.
Mereka turut didedahkan tentang kepentingan memakai topi keledar semasa membonceng motosikal bersama ibu bapa atau penjaga sebagai langkah mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
Selain itu, para pelajar diberikan panduan menggunakan laluan pejalan kaki dengan selamat, tatacara turun dari kenderaan sebelum melintas jalan, penggunaan jejantas serta pengenalan kepada zon bahaya atau titik buta kenderaan yang boleh mengundang risiko kemalangan.
Pihak BSPT turut berkongsi maklumat berkaitan kemalangan jalan raya yang sering berlaku di dalam dan luar kawasan sekolah bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar.