Niah World Poetry Festival a platform to elevate the Nation’s Literature and Tourism: Chiew

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Chiew (empat kiri) bersama tetamu kehormat pada majlis makan malam pelancaran Festival Puisi Dunia Niah 2026 di Miri, malam Jumaat.


This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online



MIRI: Festival Puisi Dunia Niah 2026 berpotensi menjadi platform penting dalam memperkukuh perkembangan industri pelancongan negara di samping mengangkat martabat sastera dan puisi sebagai lambang peradaban bangsa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Chiew Choon Man berkata, penganjuran festival bertaraf antarabangsa itu membuktikan kesungguhan pelbagai pihak dalam menjayakan program yang bukan sahaja memperkasakan kesusasteraan, malah mempromosikan khazanah warisan dunia yang terdapat di Sarawak.

Beliau berkata, usaha sama melibatkan persatuan penulis, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan, syarikat swasta serta individu perseorangan dalam menjayakan festival tersebut wajar diberikan penghargaan yang tinggi.

“Sinergi antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Nusa Centre, Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), Kementerian Pelancongan Malaysia serta pelbagai pihak lain amat dihargai dalam usaha mengangkat harkat dan martabat sastera di negara ini.

“Penganjuran acara antarabangsa seperti ini memerlukan komitmen, kesungguhan dan kerjasama erat daripada semua pihak.

“Saya mewakili Kementerian Pelancongan Malaysia amat menghargai segala usaha yang dicurahkan dari segi kewangan, masa, tenaga dan komitmen dalam menarik penyertaan peserta dari luar negara,” katanya ketika berucap merasmikan majlis makan malam pelancaran festival itu di sini, malam Jumaat.

Ahli Parlimen Miri itu berharap semua program yang dirancang sepanjang festival itu dapat berjalan lancar dan memberi pengalaman bermakna kepada para peserta.

Menurutnya, festival tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada peserta untuk berforum dan mendeklamasikan puisi, malah berpeluang meneroka Gua Niah yang diiktiraf sebagai antara tapak warisan dunia penting yang menyimpan sejarah awal ketamadunan manusia.

“Di sinilah terletaknya penemuan rangka manusia purba yang menjadi antara bukti penting sejarah ketamadunan manusia. Pengalaman berada di lokasi bersejarah ini pasti memberi nilai tambah kepada para peserta,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada PUTERA dan rakan-rakan strategiknya atas inisiatif menganjurkan festival berkenaan serta komitmen berterusan dalam memartabatkan kesusasteraan.

Katanya, kementerian sentiasa bersedia meneliti sebarang cadangan atau usaha yang dilaksanakan secara terancang dan lengkap dokumentasinya bagi membantu penganjur meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa bangga apabila festival berkenaan berjaya menghimpunkan peserta dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Uzbekistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Malaysia.

“Penganjuran ini menjadikan Niah, Miri dan Sarawak sebagai tumpuan penyair, sasterawan dan budayawan dari seluruh dunia.

“Melalui puisi, kita dapat menyampaikan mesej kecintaan terhadap alam sekitar dan bersama-sama mempertahankan kelestarian alam yang menjadi anugerah Tuhan kepada manusia,” katanya.

Beliau turut memuji kejayaan PUTERA yang diberi kepercayaan menjadi tuan rumah festival bertaraf antarabangsa itu.

Menurutnya, penganjuran Festival Puisi Dunia Niah merupakan kesinambungan kepada Festival Puisi Warisan Antarabangsa yang pernah dianjurkan di Gua Niah pada tahun 2008 hasil kerjasama PUTERA, Jabatan Warisan Negara dan DBP.

“Usaha ini memperkukuhkan kedudukan Gua Niah sebagai ruang pertemuan warisan, budaya, sejarah dan kesusasteraan dunia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata para peserta dijadualkan bertolak ke Niah pada pagi Sabtu bagi meneruskan rangkaian program festival yang merangkumi forum puisi, lawatan budaya ke rumah panjang serta penerokaan Gua Niah.

Beliau percaya pengalaman berinteraksi secara langsung dengan alam semula jadi, menikmati keindahan landskap serta menelusuri sejarah peradaban manusia di Gua Niah akan menjadi sumber inspirasi yang berharga kepada para penyair.

“Pengalaman ini pasti membantu mereka menghasilkan karya yang lebih bermakna, mendalam dan sarat dengan nilai kemanusiaan,” katanya.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP Abang Haliman Abang Julai, Ahli Lembaga Pengelola DBP Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy, Ahli Lembaga Pengelola DBP Dato Dr Jeniri Amir, Pengarah DBP Cawangan Sarawak Dr Azizul Ismail, Pengarah Nusa Centre Syed Mohd Zakir Syed Othman dan Ketua 1 Persatuan Penulis Utara Sarawak Zainal Abidin Suhaili.AD