MIRI: Seramai 608 penduduk melibatkan 103 pintu bilik di Kampung Long Bemang terjejas akibat banjir yang melanda kawasan itu sejak petang semalam.
Menurut laporan Persatuan Bomba Sukarela Long Bemang, banjir mula berlaku pada jam 3.45 petang, susulan hujan berterusan serta kedudukan rumah penduduk yang berhampiran aliran sungai.
Setakat jam 6.44 pagi tadi, paras air direkodkan pada ketinggian 2.2 kaki dengan trend menunjukkan peningkatan, manakala keadaan cuaca dilaporkan mendung.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada perpindahan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilakukan.
Penduduk yang terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan semasa memandangkan paras air masih menunjukkan trend menaik.
Pihak berkuasa dan pasukan pemantau di kawasan berkenaan terus mengikuti perkembangan banjir bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Sementara itu, orang ramai khususnya penduduk yang tinggal berhampiran sungai diminta mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk dan paras air terus meningkat.