MIRI: Pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi berjaya memastikan kerja pembaikan paip air utama berdiameter 1,100 milimeter di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu berjaya disiapkan walaupun berdepan cuaca buruk dan hujan berterusan sepanjang operasi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi (gambar) berkata, kejayaan operasi yang bermula pada 10 Jun lalu itu membuktikan keberkesanan kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan Sarawak Water Sdn Bhd dalam menangani gangguan utiliti kritikal.
Menurutnya, paip utama berkenaan mengalami kebocoran yang dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah, namun kerja pembaikan berjaya disiapkan pada awal pagi Jumaat hasil komitmen tinggi semua pihak yang terlibat.
“Walaupun berdepan keadaan cuaca yang mencabar dengan hujan berterusan, kerja pembaikan dapat diselesaikan dengan jayanya.
“Ini mencerminkan dedikasi, komitmen dan semangat berpasukan yang amat tinggi dalam kalangan petugas di lapangan,” katanya kepada The Borneo Post di sini.
Beliau berkata, Sarawak Water turut menyelesaikan proses pengisian semula sistem, penstabilan tekanan serta kerja-kerja pembilasan bagi membolehkan pemulihan bekalan air dilakukan secara berperingkat dan memastikan kualiti air berada pada tahap memuaskan.
Julaihi turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Miri atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air yang menjejaskan kira-kira 70,000 pengguna.
Katanya, pemahaman orang ramai memainkan peranan penting dalam memastikan operasi pembaikan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan kerja pembaikan sehingga selesai sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Gawai Dayak dibuat bagi mengurangkan kesulitan kepada masyarakat.
“Kami telah mengesan kebocoran itu lebih awal, namun memberi ruang kepada rakyat menyambut perayaan terlebih dahulu sebelum pelan pembaikan dilaksanakan. Syukur semuanya berjalan lancar hasil sokongan semua pihak,” katanya.
Beliau turut memuji Sarawak Water serta agensi berkaitan atas perancangan rapi termasuk pemberian notis awal kepada pengguna, pelaksanaan pelan kontingensi yang berkesan dan penyampaian maklumat secara berterusan kepada orang ramai.
Menurutnya, pemantauan rapi oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta tindakan pantas semua agensi berkaitan berjaya memastikan gangguan bekalan air berskala besar itu ditangani dengan baik dan hampir tidak menerima aduan daripada pengguna.