MIRI: Mangsa kebakaran di Rumah Nelson Ningkan di Jalan Sungai Saeh, Kampung Labau di sini menerima bantuan kebajikan daripada Persatuan Kebajikan Prihatin Marudi dengan kerjasama Kelab Kembara Permotoran Pacuan 4 Roda Kota Samarahan (D-Generation 4X4 Adventure), hari ini.
Misi kebajikan yang diketuai Pengerusi Persatuan Kebajikan Prihatin Marudi Annekiu Sipun itu diadakan bagi membantu keluarga yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku pada 29 Mei lalu.
Dalam misi tersebut, D-Generation 4X4 Adventure telah menyumbangkan bantuan bernilai RM1,200 bagi meringankan beban mangsa yang terkesan dengan tragedi berkenaan.
Selain itu, Persatuan Kebajikan Prihatin Marudi turut menyampaikan pelbagai barangan keperluan harian termasuk makanan, minuman, pakaian, beras, telur dan barangan asas lain yang dikumpulkan hasil sumbangan ahli persatuan serta orang ramai yang prihatin.
Rombongan berkenaan bertolak dari Marudi pada jam 10 pagi sebelum tiba di rumah panjang tersebut kira-kira jam 11.40 pagi bagi menyerahkan bantuan secara langsung kepada keluarga yang terjejas.
Menurut Annekiu, program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan, malah sebagai tanda sokongan moral kepada mangsa yang sedang berdepan kesukaran selepas kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
“Kami berharap bantuan yang disampaikan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mangsa kebakaran serta memberi semangat kepada mereka untuk bangkit semula selepas tragedi yang menimpa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada D-Generation 4X4 Adventure, para penyumbang, sukarelawan dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama serta sokongan dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut.
Katanya, semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu golongan yang ditimpa musibah agar mereka tidak berasa terpinggir dan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.