Miri to Host WATCEFS 2026, Strengthening Sarawak as Asia’s Tapas Capital

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Ting dan tetamu kehormat lain bersedia membuat tandatangan di backdrop acara dan logo penaja WATCEFS 2026.


This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online



MIRI: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab gastronomi bertaraf dunia apabila bandar raya Miri dipilih sebagai tuan rumah World National & World Asia Tapas Competition, Exhibition, Festival and Seminar 2026 (WATCEFS 2026) yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Jun ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, penganjuran acara antarabangsa itu membuktikan keupayaan Sarawak dalam menggabungkan sektor pelancongan, industri kreatif dan acara perniagaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh jaringan antarabangsa.

Beliau berkata, acara berprestij itu bukan sahaja mempromosikan warisan kulinari Sarawak ke persada dunia, malah membuka peluang pelaburan, pembangunan bakat dan kerjasama strategik global.

“Acara ini mewakili aspirasi terbaik sektor pelancongan, industri kreatif dan acara perniagaan kita, iaitu pertumbuhan ekonomi melalui perdagangan dan pelaburan, pengiktirafan global terhadap warisan kulinari, pembangunan bakat tempatan serta pembentukan kerjasama antarabangsa yang bermakna.

“Saya amat berbangga kerana acara antarabangsa berprestij ini diadakan di Miri, sebuah bandar yang semakin memainkan peranan penting dalam pembangunan pelancongan dan ekonomi Sarawak,” katanya pada sidang media WATCEFS 2026 di Meritz Hotel Miri dan Jinhold Hotel & Serviced Apartment di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu memberitahu, penganjurannya amat bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama gastronomi, pelancongan budaya dan acara perniagaan.

Katanya, Sarawak kini dikenali sebagai ‘Ibu Kota Tapas Asia’, satu pengiktirafan yang mencerminkan kreativiti kulinari negeri ini serta kekayaan warisan pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan pelbagai etnik lain.

Sebanyak 3,000 peserta dan pengunjung dijangka menghadiri acara berkenaan yang akan berlangsung di Meritz Hotel Miri dan Jinhold Hotel & Serviced Apartment, melibatkan lebih 100 pempamer, 30 peserta Malaysia bagi World National Tapas Competition serta 25 peserta dari 12 negara untuk aktiviti itu.

Juara pertandingan tersebut akan berpeluang mewakili negara ke Kejohanan Dunia Tapas di Valladolid, Sepanyol.

Ting berkata, penyertaan delegasi dan rakan strategik dari Sepanyol, China, Vietnam, Brunei Darussalam, Indonesia, Korea, Thailand, Filipina, Singapura, Kemboja, Jordan dan Abu Dhabi membuktikan pengaruh antarabangsa acara berkenaan.

“Apabila cef Malaysia bertanding di Valladolid, mereka bukan sahaja membawa kemahiran kulinari tetapi juga membawa bendera negara, warisan, rasa dan identiti kita ke pentas gastronomi dunia.

“Di sinilah budaya menjadi perdagangan. Apabila cef Malaysia mendapat pengiktirafan antarabangsa, pembeli global mula memberi perhatian kepada lada hitam, rempah dan bahan tempatan unik kita,” katanya.

Beliau menambah, kejayaan seorang juara mampu mencetuskan kesan besar termasuk membuka peluang eksport, memberi inspirasi kepada generasi baharu bakat kulinari serta mengukuhkan reputasi Sarawak sebagai destinasi gastronomi bertaraf dunia.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan para peserta, delegasi dan media antarabangsa mengambil peluang meneroka Sarawak Utara, termasuk dua Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah.

Katanya, antara tarikan utama program tahun ini ialah majlis resepsi kulinari ‘Asia on a Plate’ yang menghimpunkan cef dari seluruh Asia untuk mempersembahkan ciptaan tapas masing-masing, sekali gus membuka ruang jaringan perniagaan dan pertukaran budaya.

Selain itu, Festival Makanan WATCEFS 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun akan menampilkan pelbagai makanan dan minuman istimewa, demonstrasi masakan secara langsung menggunakan ikan sungai Sarawak, hidangan autentik Shantou serta pelbagai makanan tradisional Orang Ulu dan Sarawak.

“Festival ini merupakan hadiah kepada masyarakat, satu sambutan yang menyatukan penduduk dan pelawat melalui bahasa sejagat iaitu makanan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik penganjuran semula Borneo Barista Art Challenge edisi kedua serta World Coffee Blending Competition yang menghimpunkan penggiat kopi dari pelbagai negara bagi mempamerkan inovasi dan kepakaran dalam pengadunan kopi.

Menurutnya, pertandingan tersebut mencerminkan perkembangan budaya kopi Borneo dan mengukuhkan kemunculan Sarawak sebagai pemain penting dalam industri kopi premium global.

Tambah beliau, program itu turut menampilkan seminar dan kelas induk berkaitan kelestarian gastronomi, pelancongan digital, keselamatan makanan dan strategi penjenamaan, yang dikendalikan pakar dari Malaysia, Sepanyol, Indonesia, Korea, Thailand dan Hong Kong.

Katanya, inisiatif tersebut merupakan pelaburan penting dalam pembangunan modal insan yang akan terus memberi manfaat kepada industri tempatan pada masa depan.

Beliau berkata, acara itu juga sejajar dengan Inisiatif BESLegacy serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan pembentukan masyarakat makmur, inklusif dan mampan berteraskan inovasi serta daya tahan ekonomi.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada penaja utama termasuk Lembaga Lada Malaysia sebagai Penaja Platinum, Carlsberg Malaysia dan Jinhold Hotel & Serviced Apartment sebagai Penaja Emas serta BonCafe Malaysia sebagai Penaja Perak.

Ting turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Persatuan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Antarabangsa Sarawak merangkap pengerusi penganjur acara, Sim Ling Ling, atas komitmen dan kepimpinan dalam menjadikan WATCEFS sebagai platform antarabangsa yang menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan dan pembinaan Sarawak.