Bungalow Used as a Depot for Subsidised Diesel, Four Arrested in Miri

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Polis memeriksa sebuah rumah banglo di Tanjong Lobang di Miri yang dijadikan pusat pengumpulan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan pada tengah hari Rabu. - Gambar IPD Miri


This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Taktik menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menjadikan sebuah rumah banglo sebagai pusat pengumpulan terbongkar selepas polis menahan empat lelaki tempatan dan merampas 15,000 liter diesel hasil serbuan di premis berkenaan pada tengah hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan ke atas sebuah rumah banglo yang terletak di Tanjong Lobang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

“Dalam serbuan jam 12 tengah hari semalam (Rabu), kita dapati empat lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 52 tahun sedang menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Siasatan awal mendapati suspek menyewa premis itu dan menggunakan ruang di sebelah rumah sebagai pusat pengumpulan minyak diesel bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek mendapatkan bekalan diesel menerusi individu yang bertindak sebagai 'runner' dengan membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar bandar raya Miri sebelum dibawa ke premis tersebut untuk dijual kepada sindiket pada harga yang dipersetujui.

Katanya, pembelian dilakukan menggunakan tangki kenderaan persendirian serta tong jenis 'jerry can' sebelum minyak berkenaan dipindahkan ke dalam tangki yang disediakan di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah banglo itu menemukan kira-kira 15,000 liter minyak diesel, sebuah lori tangki berkapasiti 16,000 liter, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan beberapa tangki serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM131,079,” katanya.

Menurut Farhan, kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Beliau berkata, kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan, malah mengganggu rantaian penyaluran bekalan bahan api itu kepada pengguna yang layak.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengusaha stesen minyak di bandar raya ini supaya tidak bersekongkol dengan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan diminta menyalurkannya kepada IPD Miri atau KPDN Cawangan Miri bagi membantu usaha penguatkuasaan membanteras jenayah berkenaan.