Sarawak Government Continues to Put the People’s Interests First

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

HII

 
This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online
 

MIRI: Kerajaan Sarawak disifatkan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat negeri ini, termasuk mempertahankan autonomi imigresen sebagai benteng penting dalam mengawal kemasukan warga luar dan melindungi hak rakyat Sarawak.

Naib Pengerusi Pusat Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kelvin Hii berkata, isu kewarganegaraan dan pelarian Rohingya yang semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, berdasarkan statistik rasmi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), terdapat sekurang-kurangnya 126,144 pelarian Rohingya yang berdaftar di Malaysia ketika ini, tidak termasuk mereka yang tidak didaftarkan.

“Petisyen dalam talian yang menggesa supaya Rohingya diusir dari Malaysia jelas menunjukkan bahawa isu ini perlu dipandang serius oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, peningkatan jumlah pelarian Rohingya turut memberi tekanan terhadap kemudahan awam, perkhidmatan sosial dan sumber negara yang secara tidak langsung memberi kesan kepada hak serta kepentingan rakyat Malaysia.

“Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan baik, ia berpotensi menjadi lebih sukar untuk dikawal pada masa akan datang,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hii menyatakan sokongan terhadap pendirian Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menegaskan bahawa keputusan Kerajaan Sarawak pada 2017 untuk tidak menerima penempatan pelarian Rohingya di negeri ini kekal sehingga kini.

Menurutnya, dasar tersebut merupakan antara langkah penting dalam memastikan kepentingan rakyat Sarawak terus terpelihara.

Beliau menjelaskan, pendirian Sarawak itu tidak bermakna negeri ini tidak mempunyai nilai kemanusiaan, sebaliknya bantuan kemanusiaan perlu dilaksanakan secara terancang dan mengikut kemampuan.

“Rohingya ditempatkan di Malaysia atas dasar kemanusiaan melalui usaha antarabangsa namun banyak negeri di Malaysia berdepan cabaran apabila jumlah pelarian meningkat tanpa perancangan dan pengurusan yang mencukupi sehingga memberi tekanan kepada sumber serta kemudahan awam,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Sarawak kini sedang melalui fasa pembangunan pesat dan setiap sumber yang ada perlu dimanfaatkan secara optimum demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, keutamaan perlu diberikan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat Sarawak namun negeri ini tetap memainkan peranan dalam usaha kemanusiaan melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk ketika pandemik COVID-19, perkongsian teknologi tenaga hijau, bantuan perubatan serta peluang pekerjaan kepada pekerja asing dari negara jiran.

“Semua bantuan ini dilaksanakan mengikut kemampuan Sarawak dan melalui perancangan yang tersusun supaya bantuan kemanusiaan dapat diberikan tanpa menjejaskan hak serta kepentingan rakyat tempatan,” jelasnya.

Hii turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas usaha berterusan mempertahankan hak rakyat negeri ini.

Beliau menegaskan, Ordinan Imigresen Sarawak 1958 merupakan antara perlindungan autonomi yang paling penting dan tidak seharusnya dicabar oleh mana-mana pihak.

“Undang-undang ini membolehkan Sarawak mengawal kemasukan individu dari luar, menapis kemasukan ke negeri ini serta melindungi kepentingan rakyat Sarawak secara maksimum,” katanya.

Beliau turut mengimbas kebimbangan yang pernah disuarakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2018 berhubung cadangan kerajaan persekutuan ketika itu yang didakwa mahu menghapuskan autonomi imigresen Sarawak.

Menurutnya, sekiranya perkara tersebut berlaku, Sarawak berkemungkinan berdepan cabaran yang sama seperti dihadapi beberapa negeri lain di Semenanjung Malaysia berkaitan isu pelarian Rohingya.

“Ini menunjukkan masih terdapat pihak yang tidak meletakkan kepentingan Sarawak sebagai keutamaan, sebaliknya lebih berminat untuk berkongsi sumber yang dimiliki negeri ini.

“Oleh itu, rakyat Sarawak perlu terus bersatu, menolak sebarang usaha yang boleh menjejaskan hak dan autonomi negeri serta terus menyokong kestabilan politik demi memastikan pembangunan dan kemakmuran Sarawak dapat diteruskan,” tegasnya.