Maxim E-Hailing and Malaysian Red Crescent Society Miri Sign MoU

Posted on 07 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo


Lee dan Mohd Hazwan menunjukkan MoU yang ditandatangani sambil disaksikan Dr Mohd Arif dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong (kiri)

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online


MIRI: Maxim E-hailing Malaysia memperkukuh komitmennya terhadap kebajikan masyarakat melalui kerjasama strategik dengan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri, yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) serta penyerahan dana bagi menyokong program kemanusiaan dan komuniti di sini.

Sebelum majlis rasmi berlangsung, kedua-dua organisasi telah berjaya menganjurkan program derma darah yang menerima sambutan amat menggalakkan daripada orang awam dan sukarelawan korporat.

Sebagai satu-satunya platform e-hailing yang bekerjasama secara aktif dengan BSMM Miri dalam inisiatif itu, Maxim membuktikan komitmen kukuh terhadap usaha kemanusiaan dengan mencatat jumlah penyertaan tertinggi dalam program derma darah tersebut.

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan akses dan sokongan pengangkutan bagi program-program kemanusiaan melalui penyediaan perjalanan percuma kepada penerima manfaat, sukarelawan, penderma darah serta kakitangan yang terlibat dalam pelbagai aktiviti anjuran BSMM Miri.

Sebagai antara organisasi kemanusiaan utama di Sarawak, BSMM Miri mengendalikan Pusat Dialisis Buah Pinggang, Pusat Sunflower untuk orang kurang upaya, perkhidmatan kesihatan, program kesiapsiagaan dan tindak balas bencana, kemudahan penginapan serta pelbagai inisiatif kutipan dana komuniti.

Melalui kerjasama itu, Maxim akan menyokong organisasi tersebut dengan meneroka pelaksanaan akaun pengangkutan korporat khas bagi memudahkan pergerakan dalam penyampaian perkhidmatan penting mereka.

Majlis kerjasama itu telah disempurnakan Menteri Pengangkutan Sarawak dan Penasihat BSSM Miri Dato Sri Lee Kim Shin yang turut menyaksikan majlis menandatangani MoU dan penyerahan replika cek sebagai simbol kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh kebajikan masyarakat serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan penting.

Pengarah Maxim Malaysia Mohd Hazwan Musley percaya bahawa mobiliti mampu memperkasakan komuniti dan meningkatkan kualiti kehidupan.

"Kerjasama dengan Bulan Sabit Merah Malaysia Miri membolehkan kami memperluaskan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan, di samping menggalakkan kakitangan dan rakan pemandu kami untuk menyumbang kepada usaha-usaha kemanusiaan yang bermakna," jelasnya.

Beliau  berbangga kerana inisiatif derma darah itu menerima penyertaan yang amat memberangsangkan, sekali gus mencerminkan semangat keprihatinan dalam komuniti Maxim.

Selain inisiatif pengangkutan, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi dalam memupuk budaya kesukarelawanan, meningkatkan akses kepada perkhidmatan komuniti yang penting serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam program-program kemanusiaan.

Melalui kerjasama strategik seperti ini, Maxim berhasrat mewujudkan impak sosial yang mampan dengan memanfaatkan platform mobilitinya bagi menyokong organisasi yang berkhidmat kepada golongan yang memerlukan.

Pengerusi BSMM Miri Dr Mohd Arif Abdullah berkata, pengangkutan yang boleh dipercayai amat penting bagi kebanyakan program mereka daripada membawa pesakit dialisis dan sukarelawan, selain menyokong aktiviti tindak balas kecemasan serta program khidmat masyarakat.

"Kerjasama dengan Maxim ini akan memperkukuh keupayaan operasi kami dan membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada komuniti.

"Kami juga amat menghargai penyertaan aktif Maxim dalam kempen derma darah yang menjadi contoh sebenar tanggungjawab sosial korporat," jelas Mohd Arif.

Melalui kerjasama strategik itu, Maxim dan PBSMM Miri berharap dapat membina hubungan jangka panjang yang mampu meningkatkan mobiliti, menyokong perkhidmatan kemanusiaan serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pelbagai inisiatif kebajikan dan amal di Miri serta seluruh Sarawak.