MIRI: Persatuan Taman Alam Semula Jadi Kem Piasau (PCNPS) mengajak orang ramai menyertai program ‘Walk in the Park' pada Sabtu ini di Rizab Alam Semula Jadi Piasau.
Program berjalan kaki yang berteraskan kesedaran alam sekitar itu bertujuan menggalakkan masyarakat mendekati alam semula jadi, menghargai usaha-usaha pemuliharaan yang dilaksanakan oleh komuniti setempat serta menikmati keindahan kawasan rizab tersebut.
Peserta akan berkumpul di Pintu Barat, Blok Pejabat Rizab Alam Semula Jadi Piasau pada jam 4 petang, manakala aktiviti berjalan kaki akan bermula pada jam 4.30 petang.
Orang ramai yang ingin menyertai program itu dinasihatkan meletakkan kenderaan di kawasan parkir utama berhampiran pintu masuk blok pejabat yang menghadap jalan utama.
Menurut penganjur, program tersebut memberi peluang kepada peserta untuk menikmati udara segar, mengeratkan hubungan sesama komuniti serta bersama-sama mengambil langkah positif dalam usaha memelihara warisan alam semula jadi untuk generasi akan datang.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan membawa ahli keluarga dan rakan-rakan untuk menyertai aktiviti berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar.
“Marilah kita berjalan bersama demi alam semula jadi, komuniti dan masa depan yang lebih lestari,” menurut kenyataan penganjur.