TOBC 4.0 aims to set a Malaysian record through the parade of the most ethnic associations

Posted on 14 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Galong (duduk tengah) bersama jawatankuasa penganjur TOBC 4.0 pada sidang media hari ini.

This news in Bahasa Melayu is from: Utusan Borneo 
 

MIRI: Karnival Budaya Taste of Borneo (TOBC) 4.0 menyasarkan untuk mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records bagi kategori penyertaan persatuan etnik terbanyak dalam sebuah perarakan sempena penganjurannya yang berlangsung pada 1 hingga 12 Julai depan.

Perarakan TOBC yang dijadual berlangsung pada 1 Julai itu bakal menjadi antara acara kemuncak karnival apabila menghimpunkan penyertaan daripada 32 persatuan etnik dari seluruh Sarawak dan Borneo dalam usaha mempamerkan keunikan budaya serta warisan masyarakat pelbagai kaum.

Selain persatuan etnik, perarakan berkenaan turut melibatkan penyertaan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri, SMK Merbau, SMK Pujut dan Sekolah Menengah (SM) Jalan Riam.

Menariknya, perarakan itu juga akan disertai delegasi jemputan dari Yunnan, China yang akan mempersembahkan kepelbagaian budaya negara tersebut menerusi penyertaan masyarakat etnik Han, Yi, Hani, Zhuang, Wa dan De'ang.

Penyertaan delegasi antarabangsa itu dijangka menambah warna dan kemeriahan kepada acara berkenaan sekali gus mengukuhkan hubungan budaya antara Sarawak dan China.

Karnival itu akan berlangsung di Tapak Letak Kereta Terbuka Boulevard, Miri menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan yang meraikan kepelbagaian warisan masyarakat Borneo.

Pada 3 Julai, program Seni Budaya Tarian Borneo akan diadakan dengan menampilkan persembahan tarian tradisional dari pelbagai komuniti di Borneo.

Program tersebut turut dipertingkatkan ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan kumpulan kebudayaan dari Sabah, Brunei, Indonesia dan Yunnan.

Majlis berkenaan dijadual disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sementara itu, Majlis Perasmian TOBC 4.0 pada 4 Julai bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Antara acara penting pada malam perasmian adalah Majlis Menandatangani Persahabatan Persatuan Etnik antara Taste of Borneo Cultural Carnival dan Society of Yunnan Nationalities serta Majlis Menandatangani Bandar Persahabatan antara Majlis Bandaraya Miri dan Kerajaan Rakyat Perbandaran Lijiang, China.

Penganjuran TOBC 4.0 dijangka menjadi platform penting dalam mempromosikan kepelbagaian budaya Borneo, memperkukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai etnik serta memperluaskan jaringan kerjasama budaya dan pelancongan di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, mesyuarat jawatankuasa penganjur bersama Residen Miri yang juga Pengerusi Bersama TOBC 4.0 Galong Luang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Pejabat Residen Miri hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Cina Sarawak yang juga Pengerusi Bersama Harry Lee dan Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Sarawak yang juga Pengerusi Penganjur Jade Lim.