RCOMOT channels donations to Dapun Le LylyianPing

Posted on 14 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Pauline (tiga kiri) menyerahkan sumbangan kepada Lylian sambil disaksikan Karambir dan Dr Selvam (belakang) serta wakil dari RCOMOT dan MCCS pada Khamis.
 

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo
 

MIRI: Usaha menyediakan makanan harian kepada golongan gelandangan di Bandar Raya Miri terus mendapat sokongan apabila Kelab Rotary Miri Oil Town (RCOMOT) menyumbangkan pelbagai bekalan makanan dan keperluan harian kepada Dapun Le LylyianPing.

Sumbangan itu diserahkan dalam majlis pada Khamis yang diketuai Presiden RCOMOT Pauline Sagau, selaras dengan tema kelab bagi Tahun Rotary 2025-2026 'Bersatu Demi Kebaikan'.

Bantuan berkenaan disalurkan bagi menyokong usaha Pertubuhan Penyayang Bandaraya Miri (MCCS) dan Dapun Le LylyianPing yang  menyediakan makanan harian kepada purata 25 individu gelandangan di pusat bandar Miri sejak tahun 2019.

Inisiatif berkenaan diterajui Lylian Ping, ahli jawatankuasa MCCS yang mengendalikan Dapun Le LylyianPing dan sentiasa komited memastikan kebajikan golongan gelandangan di bandar raya ini terus diberi perhatian.

Majlis penyerahan sumbangan itu turut disaksikan Presiden MCCS Karambir Singh yang merakamkan penghargaan kepada Pauline, Presiden-Elekt RCOMOT bagi sesi 2026-2027, Dr Selvam Shanmugam serta ahli-ahli kelab berkenaan atas sumbangan dan sokongan yang diberikan.
 

Menurut Karambir, kedua-dua organisasi berkongsi matlamat yang sama dalam berkhidmat kepada masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, RCOMOT telah lama aktif melaksanakan pelbagai projek khidmat masyarakat dan kerjasama itu mengukuhkan lagi komitmen bersama dalam menyemai nilai kasih sayang serta keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik.

"Marilah kita terus berganding bahu membawa harapan dan memelihara maruah golongan gelandangan di Bandar Raya Miri," katanya.

Sementara itu, Lylian turut menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh RCOMOT dan MCCS dalam membantu menjayakan usaha kebajikan tersebut.

Katanya, bantuan yang diterima amat bermakna dalam usaha berterusan menyediakan makanan dan keperluan asas kepada golongan gelandangan yang memerlukan perhatian serta bantuan masyarakat.