200 receive aid during Gawai through PETRONAS Driving Lives program in Miri

Posted on 14 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Lee menyampaikan sumbangan sambil bergambar bersama wakil penerima dan tetamu kehormat pada majlis tersebut.
 

This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo
 

MIRI: Seramai 200 penerima di sekitar bandar raya Miri termasuk kawasan luar bandar seperti Lambir akan menerima sumbangan barangan keperluan harian menerusi program PETRONAS Memacu Kehidupan Gawai 2026 sempena sambutan Hari Gawai tahun ini.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin di Dewan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) di sini, petang Jumaat.

Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd – Aset Sarawak Shalby Reduan berkata, program itu merupakan inisiatif tahunan di bawah fokus Kesejahteraan Komuniti PETRONAS yang bertujuan membantu golongan memerlukan serta mengukuhkan hubungan syarikat dengan masyarakat setempat.

Menurut beliau, sambutan perayaan akan menjadi lebih bermakna apabila kegembiraan dan rezeki dapat dikongsi bersama mereka yang memerlukan sokongan.

“Program Memacu Kehidupan mencerminkan kepercayaan PETRONAS bahawa kemajuan sebenar bukan hanya diukur melalui pembangunan dan pencapaian ekonomi, tetapi apabila manfaatnya turut dirasai oleh masyarakat di sekeliling kita," katanya.
 

Beliau berkata, hubungan PETRONAS dengan komuniti di Sarawak telah lama terjalin berasaskan kepercayaan, persefahaman dan tanggungjawab bersama untuk terus berkembang maju.

Katanya, kerjasama erat antara PETRONAS, agensi kerajaan serta pelbagai pihak berkepentingan membuktikan bahawa usaha yang dilaksanakan secara bersama mampu membawa manfaat lebih besar kepada masyarakat.

“Di sebalik setiap inisiatif yang dilaksanakan, matlamat kami kekal sama iaitu memperkasakan komuniti, membuka peluang dan membawa perubahan yang bermakna kepada rakyat.

“Seperti ungkapan masyarakat Iban, ‘Penyerakup kaul teras pemansang dalam pengidup’ yang bermaksud persefahaman membawa kita ke arah kemajuan. Semangat inilah yang menjadi asas kepada kerjasama yang terus diperkukuhkan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, para sukarelawan, ahli jawatankuasa serta pasukan PETRONAS.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Miri Galong Luang,  engurus Besar PETRONAS Malaysia Petroleum Management Calvin Ritek dan Pengurus Kanan PETRONAS Sarawak Rhymie Rashidie Ibrahim dan wakil Datuk Bandar Miri Kelvin Hii.