MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin menasihatkan peserta Program MyLesen B2 agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengelakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti lumba haram atau menjadi mat rempit selepas memperoleh lesen motosikal.
Beliau berkata, aktiviti berlumba di jalan raya bukan sahaja membahayakan nyawa penunggang sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
"Saya tidak mahu peserta yang mengikuti Program MyLesen ditangkap oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis kerana terlibat dalam kegiatan mat rempit.
"Perbuatan itu sangat berbahaya dan tidak bertanggungjawab," jelasnya kepada peserta program itu di Dewan Dato Permaisuri di sini, hari ini.
Menurut beliau, golongan mat rempit lazimnya tidak menghiraukan aspek keselamatan diri dan orang lain ketika menunggang motosikal, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan yang boleh membawa kecederaan serius atau kematian.
Sehubungan itu, Lee berharap ibu bapa turut memainkan peranan dengan sentiasa mengingatkan anak-anak supaya tidak terlibat dalam perlumbaan haram di jalan raya.
"Keselamatan mesti diutamakan. Saya mahu setiap pelajar yang pergi ke sekolah dan pulang ke rumah dapat melakukannya dengan selamat setiap hari. Tiada siapa yang mahu terlibat dalam kemalangan," ujarnya.
Beliau berkata, setiap kemalangan bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada mangsa dan keluarga, malah lebih menyedihkan sekiranya insiden tersebut meragut nyawa.
Justeru, beliau menggesa peserta yang berjaya memperoleh lesen supaya menjadi penunggang motosikal yang bertanggungjawab, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan ketika menunggang.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peserta supaya memakai topi keledar setiap kali menggunakan motosikal.Katanya, terdapat banyak kes kemalangan yang mengakibatkan kecederaan parah kerana penunggang gagal memakai topi keledar.
"Apabila menggunakan motosikal untuk ke sekolah, tempat kerja atau ke mana sahaja, pastikan sentiasa memakai topi keledar. Keselamatan diri adalah perkara paling utama," tegasnya.
ADUN Senadin itu berkata, program itu dilaksanakan bagi membantu golongan B40, khususnya pelajar dan penduduk yang tidak mempunyai lesen motosikal, mendapatkan lesen memandu pada kos yang lebih rendah melalui subsidi kerajaan.
Menurut beliau, kos sebenar untuk mendapatkan lesen motosikal adalah sekitar RM750, namun menerusi subsidi RM500 yang disediakan, peserta hanya perlu membayar RM250.
Katanya, beliau memperjuangkan pelaksanaan program tersebut di kawasan Senadin selepas mendapati ramai pelajar menunggang motosikal tanpa lesen, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan mereka.
Beliau menjelaskan bahawa hasil permohonannya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seramai 1,000 peserta berjaya ditawarkan mengikuti program berkenaan dengan keutamaan diberikan kepada pelajar sekolah di kawasan Miri.
"Program ini kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan turut dibuka kepada orang awam, termasuk penduduk kampung yang masih belum memiliki lesen motosikal," katanya.
Lee berharap peserta yang berjaya memperoleh lesen akan menunggang secara berhemah, mengutamakan keselamatan, memakai topi keledar dan mematuhi peraturan jalan raya.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya memuat turun aplikasi MyJPJ bagi menyimpan lesen memandu digital yang kini digunakan sebagai pengganti lesen fizikal.
Hadir sama ialah Ketua Cawangan JPJ Miri Yusuf Andan dan Pengarah Urusan Institut Memandu City Miri Sdn Bhd Lawrence Chai Pei Hua.