Program yang berlangsung di Auditorium Pustaka Miri itu merupakan langkah proaktif dalam memperkasakan warga pendidik awal kanak-kanak bagi memastikan pertumbuhan optimum generasi muda di bahagian ini.
Peserta terdiri daripada wakil 62 taska swasta dan 74 tadika swasta, selain 64 peserta daripada tadika kerajaan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Bahagian Miri.
Pelbagai pengisian penting disampaikan sepanjang latihan tersebut, antaranya penilaian status pertumbuhan kanak-kanak, kaedah antropometri yang betul, interpretasi carta pertumbuhan, penyediaan makanan sihat serta aspek keselamatan fasiliti.
Menurut kenyataan PKB Miri, program berkenaan bertujuan meningkatkan kompetensi pengusaha dan tenaga pengajar supaya ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan secara berkesan di premis masing-masing.
PKB Miri turut merakamkan penghargaan kepada JKM Miri atas kerjasama strategik yang diberikan, selain sokongan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Subis dan Baram, Jabatan KEMAS serta Jabatan Perpaduan Bahagian Miri.
Melalui sinergi antara agensi kerajaan dan sektor swasta itu, usaha memperkukuh aspek kesihatan, pemakanan dan kesejahteraan kanak-kanak diharap dapat melahirkan generasi Malaysia MADANI yang sihat, cergas dan berdaya saing pada masa hadapan.