MIRI: Penubuhan Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Kawasan SAN (JBKS) sejak 10 tahun lalu terbukti menjadi platform penting dalam memperjuangkan keperluan rakyat serta membawa pembangunan ke kawasan luar bandar di Telang Usan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan satu keputusan yang tepat dan berpandangan jauh demi memastikan suara rakyat di kawasan SAN dapat disalurkan dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, sambutan ulang tahun ke-10 JBKS yang diadakan buat julung kalinya menjadi satu sejarah penting bagi kawasan Telang Usan apabila berjaya menghimpunkan lebih 700 penduduk daripada 11 rumah panjang di kawasan SAN.
“Kehadiran yang begitu ramai membuktikan semangat perpaduan, kerjasama dan komitmen masyarakat untuk terus maju bersama,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan JBKS dan Program Pemimpin Bersama Rakyat di dewan Persekutuan Persatuan Orang-Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) pada malam Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Lucas Kalang serta seluruh ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut.
Dennis turut memberikan penghargaan khusus kepada Pemanca Anthony Kule yang menjadi antara pelopor utama penubuhan JBKS ketika masih memegang jawatan penghulu.
Katanya, walaupun berkhidmat secara sukarela, ahli-ahli jawatankuasa JBKS sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan membawa pembangunan ke kampung-kampung di kawasan SAN.
“Pengorbanan masa, tenaga dan usaha mereka selama sedekad ini wajar dihargai oleh seluruh masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil kerjasama erat antara pemimpin dan rakyat serta sokongan berterusan terhadap Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), pelbagai projek pembangunan telah dan sedang dilaksanakan di kawasan SAN.
Antara projek yang berjaya direalisasikan ialah penyediaan bekalan elektrik melalui Sistem Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) yang membekalkan tenaga elektrik secara percuma kepada penduduk, selain pembinaan Klinik Kesihatan Baharu Long San bernilai kira-kira RM50 juta.
Menurutnya, kerajaan juga melaksanakan pembinaan serta naik taraf jalan dan jambatan di simpang ke Kampung Tanjong Tepalit dan Long San, selain projek jalan kampung, jeti dan kemudahan awam di beberapa kawasan penempatan.
Turut dilaksanakan ialah pembinaan dewan serbaguna di SMK Long San dan SK St. Pius, projek pembangunan di Kampung Long Palai, pembinaan ruai Ketua Kampung di Long Anap serta kerja pemasangan jubin di ruai kampung Long Anap dan Long Julan Asal.
Selain itu, pembinaan loji air Long Anap di bawah Program HDA, pembinaan jambatan baharu di Sungai Paong, Long Apu, projek kebun sayur komuniti di Long Keluan, projek bekalan air graviti dan pembekalan tangki air kepada penduduk turut dilaksanakan.
Beliau menambah, pelbagai kerja membaik pulih bangunan gereja menerusi peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) serta pemasangan tiang dan penyediaan perkhidmatan telekomunikasi juga telah memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Bagaimanapun, Dennis berkata masih banyak lagi projek pembangunan yang diperlukan oleh rakyat di kawasan SAN dan perkara itu akan terus diperjuangkan demi memastikan taraf hidup penduduk terus meningkat.
Menurutnya, semangat muafakat dan kerjasama yang terjalin antara pemimpin dan rakyat perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan Telang Usan dapat diteruskan pada masa hadapan.