MIRI: Festival WAK Miri menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan dalam tempoh hanya tiga tahun penganjurannya dan malah berpotensi mengatasi pencapaian WAK Kuching pada masa hadapan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan pesat festival itu membuktikan bakat serta kreativiti golongan muda di bandar raya ini semakin menyerlah.
“WAK Miri berkembang jauh lebih pantas daripada jangkaan semua pihak. Saya tidak akan terkejut jika dalam beberapa tahun lagi ia mampu mengatasi apa yang telah dicapai oleh Kuching selama ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian WAK Miri di Pusat Khazanah Miri, petang Sabtu.
Menurut beliau, idea penganjuran WAK bermula pada tahun 2017 apabila pengasasnya melakukan kajian yang mendapati bulan Oktober merupakan tempoh perlahan bagi industri pelancongan di Kuching.
Katanya, pada peringkat awal, festival itu berdepan kesukaran mendapatkan sokongan termasuk daripada sektor swasta dan kerajaan kerana masih baharu serta belum mempunyai rekod pencapaian.
“Ketika itu kerajaan hanya mampu menyalurkan dana yang kecil, namun penganjur bekerja keras mendapatkan sokongan komuniti dan sektor swasta. Dari situlah WAK mula berkembang,” jelasnya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu berkata, kejayaan festival itu turut didorong oleh penyertaan aktif komuniti dalam pelbagai bidang termasuk seni kreatif, permainan digital, sukan, muzik dan keusahawanan.
Menurutnya, selepas lima tahun berkembang di Kuching, kerajaan memutuskan untuk memperluaskan penganjuran WAK ke bandar lain seperti Sibu dan Miri bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak muda menampilkan bakat mereka.
“Walaupun baru memasuki tahun ketiga, WAK Miri telah berkembang menjadi sebuah festival yang besar dengan penyertaan dan kerjasama yang amat menggalakkan,” katanya.
Abdul Karim berkata, Miri mempunyai kelebihan tersendiri sebagai pintu masuk utara Sarawak yang berhampiran Brunei serta terkenal sebagai bandar perusahaan dan pelancongan.
Beliau turut menekankan kepelbagaian etnik yang terdapat di Bahagian Miri yang kaya dengan warisan budaya, kraftangan dan seni tradisional.
“Miri amat bertuah kerana memiliki kepelbagaian budaya, makanan, tarian dan kraftangan yang menjadi aset penting kepada pembangunan industri pelancongan,” ujarnya.
Beliau menambah, Miri juga mempunyai kelebihan dari segi warisan semula jadi termasuk dua tapak warisan dunia UNESCO yang terletak di Bahagian Miri, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai bandar pelancongan dan bandar peranginan utama Sarawak.
Mengulas mengenai kekuatan WAK, beliau berkata festival itu menjadi platform yang digerakkan oleh komuniti untuk komuniti, sekali gus memberi ruang kepada penggiat seni, pemuzik, artisan, usahawan dan pencerita tempatan mengetengahkan bakat masing-masing.
“WAK bukan sekadar sebuah acara, tetapi platform untuk membina identiti, kebanggaan dan kreativiti masyarakat,” katanya.
Beliau turut memuji sokongan sektor swasta, Majlis Bandaraya Miri serta pelbagai rakan kerjasama yang membantu menjayakan festival tersebut.
Katanya, kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, komuniti perniagaan dan masyarakat merupakan faktor utama yang membolehkan WAK berkembang menjadi festival yang berjaya.
Pada masa sama, beliau mengalu-alukan kehadiran pengunjung dari kawasan lain untuk menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang festival berlangsung.
“Semoga WAK Miri terus berkembang sebagai platform kebanggaan utara Sarawak yang memperkukuh pelancongan, merancakkan industri kreatif dan mengeratkan hubungan komuniti,” katanya.