MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun ditahan polis selepas disyaki merakam seorang wanita yang berada di dalam tandas sebuah restoran di pekan Bekenu, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, penahanan suspek dilakukan susulan laporan polis yang diterima berhubung kejadian tersebut, yang turut tular menerusi satu video berdurasi 28 saat di Facebook.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi, 20 Jun lalu, apabila suspek dipercayai menggunakan telefon bimbit untuk merakam mangsa yang berada di dalam tandas restoran berkenaan.
“Perbuatan suspek disedari oleh mangsa sebelum wanita itu tampil membuat laporan di Balai Polis Bekenu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebaik menerima laporan, anggota polis dari Balai Polis Bekenu segera menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat berkaitan kejadian.
“Hasil tindakan pantas polis membawa kepada penahanan suspek di sekitar kawasan Bekenu pada hari yang sama kira-kira jam 11.30 pagi,” katanya.
Menurut beliau, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori turut membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan semasa melakukan perbuatan tersebut.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Mohd Farhan menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan jenayah dan akan memastikan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
“Polis komited untuk memastikan keselamatan masyarakat serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara di daerah Miri,” katanya.