MIRI: Sambutan menggalakkan diterima bagi permohonan pemasangan paip gas di kawasan perumahan Vista Perdana dan sekitarnya apabila ramai penduduk tampil mendaftar untuk mendapatkan bekalan gas ke kediaman masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program pendaftaran khas yang diadakan dengan kerjasama Sarawak Gas di bawah PETROS itu bertujuan memudahkan penduduk membuat permohonan pemasangan gas paip secara berkelompok.
Menurut beliau, inisiatif tersebut diadakan melalui Pusat Khidmat DUN Senadin bagi membantu penduduk yang sebelum ini berdepan kesukaran membuat permohonan secara individu.
“Hari ini kita mengadakan pendaftaran khas untuk penduduk Vista Perdana memohon sambungan gas paip ke kawasan ini. Kita bekerjasama dengan Sarawak Gas di bawah PETROS bagi memudahkan proses permohonan.
“Jika penduduk memohon secara individu, prosesnya agak sukar. Sebab itu kita memilih hari Ahad supaya lebih ramai dapat hadir untuk mendaftar,” katanya ketika ditemui semasa meninjau kaunter pendaftaran penduduk yang berminat memasang gas paip di kediaman mereka hari ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak itu berkata, kehadiran kakitangan Sarawak Gas di lokasi pendaftaran turut membolehkan penduduk mendapatkan penjelasan secara terus mengenai prosedur permohonan, kos pemasangan serta perkara berkaitan.
Beliau berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan membuktikan penduduk benar-benar serius untuk mendapatkan bekalan paip gas.
“Setakat ini lebih 200 orang telah mengisi borang permohonan dan hadir sendiri untuk mendaftar. Ini menunjukkan mereka benar-benar mahukan bekalan gas di kawasan mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, jumlah permohonan yang tinggi juga penting bagi membantu Sarawak Gas menilai daya maju pelaksanaan projek bekalan gas di sesuatu kawasan.
“Jika terlalu sedikit permohonan diterima, ia mungkin tidak berdaya maju untuk mereka membawa masuk bekalan gas. Oleh itu, pendaftaran seperti ini membantu mereka mengetahui jumlah sebenar penduduk yang berminat,” katanya.
Lee berkata, program sama akan diperluaskan ke kawasan lain di sekitar Senadin termasuk South Lake yang turut menunjukkan minat terhadap pemasangan paip gas.
Mengenai kos pemasangan, beliau menjelaskan kadar bayaran adalah bergantung kepada beberapa faktor manakala caj yang dikenakan oleh Sarawak Gas adalah tetap termasuk deposit.