MIRI: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Khas Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di Jalan Miri-Airport, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, susulan penahanan itu, lelaki berusia 48 tahun terbabit dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, dalam operasi sama sebanyak 35 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik hasil pemeriksaan terhadap 91 individu dan 86 kenderaan.
Operasi yang bermula dari jam 11 malam pada 19 Jun hingga 2.30 pagi, 20 Jun itu diketuai seorang pegawai kanan polis bersama enam anggota trafik IPD Miri.
Menurutnya, operasi berkenaan tertumpu di sepanjang Jalan Miri-Airport sebagai langkah penguatkuasaan dan pencegahan terhadap kesalahan lalu lintas serta pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
“Sepanjang operasi tiga setengah jam itu, seramai 91 individu terdiri daripada 72 lelaki dan 19 wanita diperiksa membabitkan sebanyak 86 kenderaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan, antaranya memandu tanpa lesen, pengubahsuaian ekzos, cukai jalan tamat tempoh, gagal mempamerkan huruf ‘P’ pada kenderaan serta beberapa kesalahan teknikal lain hingga kita berjaya menghasilkan sebanyak 35 saman,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Farhan berkata pemandu terbabit ditahan selepas ujian pernafasan menggunakan alat Screening Device 2 (SD2) mendapati suspek mempunyai kandungan alkohol dalam badan ketika memandu.
“Susulan itu, sampel darah suspek telah diambil di Jabatan Forensik Hospital Miri bagi tujuan siasatan lanjut dan pengesahan kandungan alkohol mengikut prosedur ditetapkan.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun serta denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh minuman beralkohol sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi asal serta mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan atau kesalahan trafik kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.