MIRI: Sebanyak 15 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan trafik dalam Op Motosikal yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, awal pagi Ahad.
Operasi itu diadakan susulan aduan orang awam berhubung aktiviti motosikal yang mengganggu kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam di sekitar bandar Miri.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu berlangsung dari jam 11 malam pada Sabtu hingga 4 pagi keesokan harinya.
Menurutnya, sepanjang operasi dijalankan, seramai 20 individu terdiri daripada 17 lelaki dan tiga wanita tempatan telah diperiksa bersama 20 buah motosikal.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan antaranya menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy’, tidak memiliki lesen memandu, tidak mempamerkan nombor pendaftaran, mengubah suai ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising serta melakukan pengubahsuaian terhadap struktur motosikal.
“Daripada jumlah yang diperiksa, 15 motosikal telah dikenakan saman PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan yang dikesan sepanjang operasi berkenaan,” katanya dalam dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta membendung aktiviti yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian yang menyalahi spesifikasi asal kenderaan serta mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Farhan turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan kepada IPD Miri bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.