MIRI: Seramai 34 individu termasuk 10 wanita tampil menunjukkan solidariti dengan mencukur kepala bagi membantu mengumpul dana untuk Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) menerusi siri pertama kempen Go Bald yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.
Antara individu terawal yang tampil mencukur kepala ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Ralph, yang disahkan menghidap Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) pada 2025 bersama bapanya, Robin Atu.
Turut serta ialah wakil Imperial Mall Konny Koh, Pembantu Khas Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting iaitu Chia Kah Furng, Ahli Majlis Tan Lek Jin serta Sim How Ven yang kesemuanya merupakan penyokong setia SCCS.
Selepas acara mencukur kepala, Chia menyerahkan cek bernilai RM10,000 bagi pihak Datuk Sebastian Ting yang tidak dapat hadir kerana urusan rasmi, sebagai sokongan kepada kempen tersebut.
Mengangkat tema ‘Growing Hope Together’, kempen tahunan itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap kanak-kanak yang berjuang melawan kanser, selain menggalakkan penyertaan orang ramai melalui aktiviti mencukur kepala, sumbangan, kerja sukarela dan advokasi.
Ahli jawatankuasa SCCS merangkap wakil pegawai Miri Jocelyn Hee berkata, Go Bald bukan sekadar inisiatif kutipan dana, malah menjadi simbol solidariti terhadap kanak-kanak yang kehilangan rambut akibat rawatan kanser.
"Menerusi tindakan mudah mencukur kepala ini, kita ingin menyampaikan mesej kepada setiap kanak-kanak yang berdepan kanser bahawa mereka tidak bersendirian," katanya.
Menurut Hee, kempen tahun itu amat bermakna kerana SCCS menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-25.
Sejak ditubuhkan pada 2001, persatuan itu telah membantu lebih 1,800 keluarga di seluruh Sarawak melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan kewangan, penginapan, pengangkutan dan akses kepada rawatan pakar.
Beliau berkata, SCCS membelanjakan lebih RM2 juta bagi bantuan perubatan sahaja pada tahun lalu, manakala lebih RM334,000 telah disalurkan untuk tujuan sama setakat tahun ini.
Walaupun sokongan masyarakat terus menggalakkan, Hee berkata keperluan bantuan masih tinggi memandangkan sekitar 60 hingga 70 kanak-kanak di Sarawak disahkan menghidap kanser setiap tahun.
"Kebanyakan keluarga ini bergantung kepada SCCS sepanjang proses rawatan. Sebab itu setiap sumbangan, sama ada dalam bentuk derma, khidmat sukarela atau penyertaan dalam Go Bald, memberi impak yang sangat bermakna," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama iaitu Mubadala Energy, penaja lokasi Imperial Mall, Paul and Jennifer Hair & Beauty Salon, Fion Hair Studio, DK Photography, Village Sound serta kakitangan dan anggota masyarakat yang menjayakan program berkenaan.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan penuh ketidaktentuan, Hee turut menzahirkan penghargaan kepada para penderma dan peserta cukur kepala apabila jumlah sumbangan yang diterima bagi siri kempen Go Bald di Miri telah melebihi RM56,300.
Beliau berkata, SCCS menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta serta sekurang-kurangnya 300 peserta mencukur kepala bagi kempen tahun ini.
Acara kemuncak Go Bald 2026 akan berlangsung di The Hills, Kuching pada 4 Julai.
Pendaftaran masih dibuka di www.gobald.my manakala perkembangan terkini boleh diikuti menerusi laman Facebook dan Instagram @sccsmy.
Bagi kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau penganjuran acara satelit Go Bald, orang ramai boleh menghubungi SCCS di talian 082-686276 atau e-mel em1@sccs.org.my.