The ownership of Bintulu Port opens a new chapter for Sarawak

Posted on 17 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo


This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo online

MIRI: Pemindahan pemilikan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak dijangka membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi negeri dengan memberikan autonomi yang lebih besar untuk menguruskan aset strategik yang menjadi pemangkin kepada sektor tenaga, perdagangan dan logistik negara.

Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sibuti Zulhaidah Suboh (gambar) berkata, langkah bersejarah itu membolehkan Sarawak merancang dan mengurus pembangunan pelabuhan berkenaan secara lebih menyeluruh selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.

Menurut beliau, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan bukan sahaja mengiktiraf hak Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), malah membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan peruntukan perjanjian tersebut menerusi semangat kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Katanya, pengambilalihan aset bernilai RM1.8 bilion itu dicapai menerusi rundingan secara telus dan persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, sekali gus mencerminkan kematangan hubungan antara kedua-dua pihak.

“Pemindahan ini diyakini akan membuka lembaran baharu kepada Sarawak dengan memberikan autonomi yang lebih besar untuk mengurus aset strategik yang menjadi nadi kepada sektor tenaga, perdagangan dan logistik negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedudukan Bintulu sebagai Kluster Industri Peralihan (TIC) yang diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia serta kelebihan Sarawak dalam sumber tenaga diperbaharui memberi peluang besar kepada negeri ini untuk memperkukuh peranannya dalam ekonomi serantau dan antarabangsa.

Menurutnya, Pelabuhan Bintulu berpotensi untuk terus berkembang sebagai hab perindustrian, logistik dan tenaga hijau yang penting bukan sahaja kepada Sarawak, malah kepada Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penyempurnaan proses penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri Sarawak.

Zulhaidah berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan perkara tersebut membuktikan bahawa pelaksanaan MA63 mampu dilaksanakan menerusi pendekatan dialog, persefahaman dan semangat perkongsian yang kukuh.

Beliau berharap sinergi yang terjalin antara kedua-dua kerajaan akan terus diperkasakan demi menjamin kemakmuran bersama serta masa depan Malaysia yang lebih progresif dan inklusif.