Senior citizens are important assets for the state's development: Dennis

Posted on 17 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo

Dennis (duduk di baris depan, enam kiri) bersama Kalang (sebelah kiri Dennis) dan tetamu kehormat lain serta ahli-ahli PPWE yang hadir, bersama-sama meraikan sambutan Hari Gawai anjuran PPWE di Miri, semalam.
 
This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online 

MIRI: Warga emas merupakan aset penting dalam pembangunan Sarawak dan berperanan sebagai teladan kepada generasi muda, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau.

Menurut beliau, golongan warga emas telah memainkan peranan besar dalam membentuk asas pembangunan serta kestabilan kerajaan negeri yang dinikmati kini.

“Sekiranya tiada generasi terdahulu yang aktif dalam pembentukan Kerajaan Sarawak, sudah tentu kita tidak akan memiliki sebuah kerajaan yang kuat dan stabil seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Gawai 2026 anjuran Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) Miri yang berlangsung meriah di sini, semalam.

Dalam ucapannya, Dennis turut menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan warga emas sebagaimana yang sentiasa ditekankan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sehubungan itu, beliau berharap PPWE, termasuk di Miri, akan terus diberikan perhatian dengan penyediaan kemudahan yang lebih luas dan lengkap bagi membolehkan warga emas menikmati pelbagai aktiviti serta perkhidmatan yang bersesuaian.

“Usaha memperkasa pusat-pusat warga emas perlu diteruskan agar golongan ini terus aktif, sihat dan dapat menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.

Majlis sambutan tersebut mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak dengan kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang etnik.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang sambutan, termasuk persembahan tarian, nyanyian dan acara hiburan lain yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para hadirin.

Lebih 150 ahli PPWE menghadiri majlis berkenaan.

Turut hadir ialah Pemanca Nawan Luhat, Penghulu Jok Ngau, Pastor Anyie Emang, Pengerusi PPWE Miri Wee Ah Siew serta pengerusi jawatankuasa pengelola Kalang Jau.