MIRI: Keindahan pantai, panorama matahari terbenam yang memukau serta keunikan produk tradisional tempatan menjadi antara tarikan utama yang diketengahkan kepada peserta Program Lawatan Suai Kenal Media 'Miri In-depth Experience' baru-baru ini.
Sepanjang lawatan tersebut, rombongan media dibawa mengunjungi dua lokasi pantai terkenal di bandar raya ini iaitu Esplaned Luak dan Kelab Bot Piasau yang menawarkan pemandangan Laut China Selatan yang menakjubkan.
Hamparan pantai berpasir yang luas serta panorama ufuk yang terbuka menjadikan kedua-dua lokasi itu tempat ideal untuk menyaksikan keindahan matahari terbenam di Miri.
Menurut peserta media, pemandangan matahari terbenam di Miri antara yang terindah pernah disaksikan mereka.
Cahaya keemasan dan jingga yang memancar ketika matahari perlahan-lahan tenggelam di kaki langit mewarnai awan dengan pelbagai rona merah jambu, kuning dan ambar, sekali gus menghasilkan pemandangan mempesonakan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, pantai-pantai di Miri mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan utama.
Beliau berharap lebih banyak kemudahan dan aktiviti dapat diperkenalkan di kawasan pantai termasuk pasar komuniti, sukan air, aktiviti rekreasi serta tarikan mesra keluarga yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelawat, malah membantu merancakkan ekonomi setempat.
“Selain itu, lebih banyak ruang santai di kawasan pantai boleh diwujudkan bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan matahari terbenam yang menjadi salah satu aset semula jadi Miri,” katanya.
Chiew berkata, bandar raya Kota Kinabalu terkenal di peringkat antarabangsa kerana panorama matahari terbenamnya di Laut China Selatan, namun Miri sebenarnya mempunyai potensi yang sama kerana kedudukan pantainya menghadap laut yang sama.
Katanya, ramai penduduk tempatan mungkin sudah biasa dengan keindahan tersebut namun pelancong terutama dari negara yang tidak mempunyai pantai atau bandar besar sering kali terpesona dengan panorama yang disajikan.
Sehubungan itu, beliau melihat potensi besar untuk mempromosikan Miri sebagai destinasi utama bagi menikmati matahari terbenam yang menakjubkan di Sarawak dan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.
Dalam pada itu, satu lagi tarikan tersembunyi yang diketengahkan sepanjang lawatan tersebut adalah perkembangan industri tuak, minuman tradisional masyarakat Sarawak, yang kini berpotensi diketengahkan sebagai produk budaya premium dan cenderamata unik untuk pelancong.
Peserta lawatan turut dijemput menyertai sesi merasa tuak yang menampilkan pelbagai perisa sambil mempelajari sejarah, proses pembuatan dan nilai budaya yang terkandung dalam minuman tradisional tersebut.
Pelbagai jenis tuak yang dihidangkan turut dipadankan dengan hidangan tradisional Sarawak bagi memberi peluang kepada peserta menghargai gabungan rasa yang unik.
Sesi tersebut memberikan pengalaman budaya yang autentik dan berkualiti, sekali gus menunjukkan bagaimana produk tradisional Sarawak boleh diangkat menjadi produk pelancongan bernilai tinggi yang memenuhi kehendak pelancong yang mencari pengalaman tempatan yang bermakna.
Beberapa wakil media yang menyertai program itu menyifatkan sesi merasa tuak sebagai antara aktiviti paling menarik sepanjang lawatan kerana ia memberi peluang kepada mereka merasai cita rasa tempatan sambil memahami dengan lebih mendalam warisan budaya Sarawak.
Sebagai sebuah bandar raya yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan landskap semula jadi, Miri mempunyai potensi pelancongan yang masih belum diterokai sepenuhnya.
Daripada keindahan pantai dan panorama matahari terbenam hinggalah kepada kekayaan gastronomi serta pengalaman budaya, bandar raya ini menawarkan gabungan unik antara alam semula jadi dan warisan tempatan.
Melalui inisiatif seperti Program Lawatan Suai Kenal Media Miri, Chiew berharap lebih banyak 'permata tersembunyi' di bandar raya ini dapat diketengahkan bagi menarik lebih ramai pelancong untuk menikmati keindahan, budaya dan keramahan masyarakat yang menjadikan Miri sebuah destinasi istimewa di Sarawak.