Niti Daun drives the empowerment of Dayak culture and economy: PERANTIS

Posted on 17 Aug 2026
Source of News: Utusan Borneo
Wellie (tengah) bersama kontinjen PERANTIS semasa menyertai Perarakan Niti Daun 2026 pada Sabtu lalu di Kuching.


This news in Bahasa Melayu is from : Utusan Borneo Online 

MIRI: Perarakan Niti Daun kini telah berkembang bukan sekadar sebagai perarakan kebudayaan, malah menjadi platform penting untuk pemerkasaan ekonomi, pemeliharaan budaya dan penyatuan sosial di Sarawak, kata Penasihat Persatuan Intelektual Peribumi Sarawak (PERANTIS) Wellie Henry Majang.

Beliau berkata, perarakan tahun ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh identiti budaya sambil mengangkat agenda pembangunan dan keterangkuman.

Wellie yang juga bertindak selaku ketua kontinjen PERANTIS semasa Perarakan Niti Daun sempena sambutan Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2026 di Tebingan Kuching, Sabtu lalu turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya menghimpun lebih 100 kontinjen dari seluruh pelosok negeri.

“Perarakan Niti Daun ini telah berjaya melalui satu evolusi baharu selari dengan arus pembangunan semasa apabila menjadi platform pemerkasaan ekonomi, memperkukuh identiti budaya serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Menurut Wellie, sambutan Gawai Dayak tidak lagi seharusnya dilihat semata-mata sebagai perayaan menuai tradisional, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin kepada pembangunan dan pemerkasaan berterusan masyarakat Dayak.

Katanya, kekayaan warisan budaya masyarakat Dayak seperti kraftangan tradisional, pakaian etnik, motif warisan, tarian dan makanan tradisional mempunyai nilai komersial yang tinggi serta mampu dimanfaatkan untuk menjana pendapatan mampan kepada komuniti tempatan.

Beliau menyifatkan perarakan itu sebagai platform terbaik untuk menggabungkan budaya dengan pembangunan, sekali gus membolehkan masyarakat Dayak memelihara dan memperkukuh identiti mereka sambil menyesuaikan diri dengan arus pemodenan negara.

“Penyertaan sebanyak 114 kontinjen pada tahun ini turut membuktikan penglibatan pelbagai kaum di Sarawak, sekali gus memperkukuh perpaduan, semangat saling menghormati dan muhibah dalam kalangan rakyat,” katanya, lagi.

Wellie menegaskan bahawa Gawai Dayak disambut secara bersama oleh pelbagai komuniti Dayak termasuk Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, serta sejak sekian lama menjadi lambang semangat kekeluargaan dan kebersamaan.

Beliau turut memuji usaha kerajaan Sarawak dalam menjadikan Perarakan Niti Daun sebagai platform integrasi budaya, sambil menyatakan inisiatif itu menyumbang ke arah pembentukan semangat kenegaraan yang lebih inklusif di negeri yang terkenal dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Selain nilai kebudayaannya, beliau berkata perarakan tersebut turut membawa nilai kerohanian yang mendalam dengan mencerminkan hubungan erat masyarakat dengan alam semula jadi, menyemai rasa syukur, menghormati nenek moyang serta memupuk tanggungjawab bersama dalam memelihara warisan budaya.

Edisi 2026 menandakan penyertaan PERANTIS buat kali ketiga dalam perarakan tahunan itu.

Wellie juga berharap Perarakan Niti Daun akan terus menjadi simbol perpaduan rakyat Sarawak dan Malaysia, di samping menggalakkan masyarakat Dayak memperkukuh warisan budaya sebagai sumber ketahanan ekonomi serta terus menyumbang kepada pembangunan negara.